Akhirnya seorang daripada 55 rakyat Malaysia terkandas banjir di Nepal disahkan selamat
Selepas lebih sebulan menanti khabar, penantian itu akhirnya berakhir dengan berita yang melegakan apabila seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal, disahkan selamat.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr. Manivannan Rethinam berkata, individu berkenaan telah datang sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu semalam dan sudah kembali ke Malaysia.
“Setelah 37 hari berada dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi.
“Kegembiraan keluarga ini turut dirasai oleh semua keluarga lain yang masih menunggu,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, individu tersebut telah melakukan perjalanan secara bersendirian dan menjadi satu-satunya pelancong solo daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia yang disahkan selamat setakat ini.
Hasil komunikasi langsung MASFIH dengan waris mendapati individu itu berada di Nagthali Viewpoint pada jam 3.26 petang, 25 Ogos lalu, sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh pada 26 Ogos.
Menurut maklumat yang disampaikan oleh waris, individu itu terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses Wi-Fi yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi.
Namun dia akhirnya berjaya bergerak dan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober 2026 sebelum kembali ke Malaysia pada pagi ini.
Sementara itu, Dr. Manivannan berkata, baki 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi dan berdasarkan maklumat yang dikumpulkan serta disemak bersama keluarga, kesemua mereka melakukan perjalanan secara berkumpulan.
Mereka terdiri daripada lima kumpulan perjalanan iaitu 23 orang, 17 orang, sembilan orang, tiga orang dan dua orang yang bergerak bersama kumpulan pelancong daripada kewarganegaraan lain.