Dulu persoal 47 pertuduhan, Mahfuz tanya Pas bersedia ke terima Zahid sebagai PM?

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian Pas sama ada mereka bersedia menerima sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16..

Persoalan itu timbul kerana pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, Pas pernah mempersoalkan kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika beliau berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

“Bersediakah Pas menerima Zahid sebagai Perdana Menteri keX1?. Persoalan ini bangkit kerana pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, Pas sendiri pernah mempersoalkan kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika beliau berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

“Hari ini nama orang yang sama disebut sebagai bakal Perdana Menteri Jika gabungan BN dan Pas memenangi PRU16.

“Kalau hari ini Zahid mahu menjadi PM, apakah 47 pertuduhan itu sudah tidak lagi menjadi persoalan?,” soalnya dalam satu kenyataan petang ini.

Beliau berkata, jika pendirian Pas tidak berubah, bagaimana parti diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang itu boleh menerima Zahid sebagai Perdana Menteri.

Mahfuz berkata, jika dahulu 47 pertuduhan dijadikan asas untuk mempersoalkan kelayakan Zahid berada di kerusi TPM, rakyat mempunyai hak yang sama untuk bertanya apabila nama yang sama disebut untuk kerusi PM.

Jelas beliau, prinsip tidak sepatutnya berubah mengikut kerusi dan soalan yang beliau ajukan bukan untuk memerangkap Pas, sebaliknya ia datang dari pendirian parti itu sendiri.

“Kalau Pas bersedia menerima Zahid sebagai PM, jelaskan kepada rakyat apa asas pertimbangannya.

Kalau tidak bersedia, jelaskan pula bagaimana Umno-Pas mahu membentuk kerajaan dan menentukan siapa Perdana Menteri.

“PRU16 tidak sepatutnya hanya menjadi pertandingan siapa paling kuat melaungkan slogan Melayu, Islam, perpaduan atau gelombang biru.

“Rakyat perlu tahu siapa yang akan memimpin? Apa prinsipnya? Apa rekodnya? Apa dasar kerajaannya? Dan apakah standard yang akan digunakan apabila menentukan siapa layak memegang jawatan Perdana Menteri?,” ujar beliau.