‘Politik sakau memang branding Umno BN’, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyifatkan “politik sakau” sebagai satu imej yang nampaknya sudah sinonim dengan Umno BN.

Walaupun parti itu memberi alasan ia dilakukan untuk membantu rakyat, Khalid berkata tindakan itu tetap menjadi persoalan terutama jika wang rakyat dan wang negara disalurkan kepada parti.

“Politik sakau itu memang branding Umno BN lah. Dan mereka justifikasikan tindakan sakau ini sebagai untuk membantu rakyat, katanya lah.

“Bila disalah guna kuasa untuk menyalurkan duit rakyat dan duit negara kepada parti, maka inilah sebahagian daripada sakau,” kata beliau dalam bicara Khalid Samad menerusi Facebook JOM Channel malam ini 

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan soal kekayaan ahli-ahli politik Umno, sambil mempersoalkan sumber wang tersebut.

“Macam mana kamu sebagai orang politik boleh dapat duit sebanyak itu?,” soal beliau.

Menurut Khalid, jika Umno mahu menghilangkan imej “parti sakau”, parti itu seharusnya mengambil sikap yang lebih seimbang, tepat dan adil serta tidak membela pihak yang bersalah.

“Kalau dia nak hilangkan imej sakau itu, dia tidak seharusnya membela orang yang sakau.

“Seharusnya Umno mengambil satu sikap yang lebih balance, yang lebih tepat, yang lebih adil dan tidak membela pihak yang bersalah,” kata beliau lagi.