Fahmi: Jawatan menteri bukan tiket untuk kaya, ubah kehidupan peribadi
Jawatan menteri bukan tiket untuk mengumpul kekayaan atau mengubah kehidupan peribadi, sebaliknya amanah untuk memperbaiki pentadbiran dan memastikan dasar kerajaan memberi manfaat kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, beliau tidak melihat kedudukan dalam Kabinet sebagai ruang untuk mengejar kemewahan, sebaliknya sebagai tanggungjawab membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurus negara.
“Saya jadi menteri bukan untuk jadi kaya. Saya masih pakai jam ‘Timex’, kasut ‘Converse’, baju batik dan saya tidak beli rumah baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita Bersama-sama Komuniti Kota Anggerik di Dewan Melati, Seksyen 7, hari ini.
Fahmi turut berseloroh bahawa selain tidak membeli rumah baharu atau menukar beberapa barangan peribadi, beliau juga tidak berkahwin lain sepanjang memegang jawatan berkenaan.
Baginya, perkara yang lebih utama ialah memastikan Kementerian Komunikasi terus melakukan penambahbaikan terhadap dasar dan perkhidmatan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Antara perkara yang disentuh ialah akses Internet yang lebih meluas, murah dan selamat, selain pendirian kerajaan supaya pelaksanaan rangkaian 5G tidak menyebabkan pengguna dikenakan caj tambahan oleh syarikat telekomunikasi.
“Dulu telco nak caj tambahan untuk 5G, tetapi kita kata tidak. Jangan bebankan rakyat,” katanya.
Manfaat kepada rakyat
Fahmi turut mengambil contoh pengalaman Selangor yang antara negeri terawal memperkenalkan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat sebelum pendekatan sama dilaksanakan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sesuatu inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat boleh diperluaskan apabila terdapat kesungguhan kepimpinan untuk memastikan perkhidmatan awam dilaksanakan dengan baik.
Dalam perkembangan sama, Fahmi menyentuh pendiriannya terhadap kleptokrasi dan penyelewengan yang menurutnya tidak seharusnya kembali menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara.
“Kita di Selangor menolak kleptokrasi. Jangan kita sayang balik kleptokrat,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat memberikan sokongan kepada kepimpinan Selangor termasuk Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, barisan Exco dan wakil rakyat negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran diteruskan.
Fahmi berkata kestabilan pentadbiran dan kepimpinan yang telus penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan serta manfaatnya sampai kepada rakyat.
Beliau pada masa sama menyatakan harapan supaya Anwar dapat meneruskan kepimpinan kerajaan untuk penggal kedua.