‘Kes berlaku 2020, masa itu masih ahli Umno’ – Akmal ditempelak kes pelaburan RM10 juta
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ditempelak selepas mempersoalkan tindakan media mengaitkan seorang individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan parti itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Akmal mempersoalkan penggunaan gelaran “bekas Exco Pemuda Umno” terhadap Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin dengan alasan individu terbabit sudah dipecat daripada parti sejak 2023.
“Walaupun dah dipecat dari Umno sejak 2023 tetapi tetap juga nak gunakan nama Umno ya?
“Ke sebab ada agenda lain nak burukkan nama Umno?” tulis Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.
Malah, dia turut membuat perbandingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno.
Akmal mempersoalkan sama ada media selepas ini juga boleh menggunakan gelaran tersebut apabila memetik Anwar.
Bagaimanapun, pemerhati politik, Jason Yew membalas kenyataan itu dengan membangkitkan tempoh kejadian yang sedang disiasat SPRM, iaitu pada penghujung 2020.
“Dah kantoi, baru kata dipecat Umno pada 2023?
“Kalau kes berlaku pada 2020, bukankah ketika itu dia masih ahli Umno?
“Janganlah cuba cuci tangan dengan tarikh pemecatan,” katanya.
Pelaburan RM10 juta
Semakan mendapati, Nazir dalam rekod laporan media pada 2020 ketika itu memang memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa.
Perkara itu menjadi perhatian kerana siasatan SPRM yang sedang berjalan membabitkan dakwaan perbuatan terbabit yang berlaku pada penghujung 2020, bukannya selepas 2023.
Terdahulu, dilaporkan dua tokoh korporat yang juga adik-beradik berusia 40-an dan 50-an itu direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Siasatan awal SPRM mendapati mereka disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama pada penghujung 2020.
SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000 dalam siasatan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.