Dr Shamrahayu : Proses penurunan takhta Tuanku Muhriz bukan sesuka hati

Penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bukan perkara yang boleh diputuskan sesuka hati kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan menetapkan proses tertentu yang perlu dipatuhi, kata pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Menurutnya, kuasa Undang Yang Empat dalam menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar sememangnya diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh negeri, namun pelaksanaannya tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan.

“Tak boleh sesuka hati berkumpul dan kemudian membuat keputusan untuk memecat atau menurunkan seseorang. Mesti ada satu proses yang dinamakan enquiry.

“Enquiry, bukan inquiry seperti yang disebut sebelum ini. Maksudnya ialah pemeriksaan,” katanya.

Shamrahayu berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum ‘Derhaka atau Tidak?’ sempena Jelajah Mega Penerangan Umno Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Menurutnya, proses enquiry itu melibatkan persoalan yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar untuk dijawab dan dilaksanakan secara tertutup.

“Proses pemeriksaan itu ialah memberikan persoalan kepada Yang di-Pertuan Besar dan Yang di-Pertuan Besar menjawab. Jawapan itu diberikan dalam proses yang tertutup bagi tujuan tersebut.

“Itulah proses yang diamalkan oleh adat. Kita tidak perlu melihat semua perkara secara terbuka kerana ini adalah urusan pemerintah negeri,” katanya.

Shamrahayu berkata aspek ketelusan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mendedahkan keseluruhan proses berkenaan kerana ia membabitkan urusan pemerintahan negeri.

Proses perlu dibuktikan

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata berdasarkan kenyataan pihak Undang, proses enquiry terhadap Tuanku Muhriz telah dilaksanakan.

Katanya, jika proses tersebut dapat dibuktikan berlaku mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh negeri, keputusan yang dibuat oleh Undang Yang Empat mempunyai asas dari segi undang-undang.

“Kalau dibuktikan proses enquiry itu telah berlaku, maka keputusan atau proklamasi pihak Undang itu adalah sah.

“Tetapi proklamasi itu hendaklah mendapat tandatangan Menteri Besar. Itu dinyatakan dalam Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Namun, beliau berkata pertikaian turut timbul mengenai kedudukan Undang yang terlibat dalam proses tersebut.

Menurutnya, jika terdapat dakwaan bahawa seseorang Undang sudah hilang kelayakan sebelum proklamasi dibuat, dakwaan itu perlu dibuktikan.

“Sekarang bila kumpulan ini menyatakan bahawa Undang itu sudah hilang kelayakan sebelum berlakunya proklamasi itu, kena buktikan bahawa Undang itu telah hilang kelayakan.

“Kalau ikut hukum, hukumnya status quo. Siapa yang menentukan yang sebaliknya, mereka kena buktikan,” katanya.

Shamrahayu turut membangkitkan persoalan mengenai tarikh sebenar penurunan takhta itu mula mempunyai kesan undang-undang.

Katanya, perkara itu perlu dibezakan daripada persoalan sama ada proklamasi berkenaan sah atau tidak.

“Sekarang kita bukan mempersoalkan adakah proklamasi itu sah atau tidak. Jawapannya memang ada yang mengatakan ia sah. Tetapi bila ia berkuat kuasa?

“Itu perkara penting kerana ia berkait dengan pelantikan, pembubaran Dewan, perjalanan pilihan raya, pelantikan Menteri Besar dan perkara-perkara lain,” katanya.

Menurutnya, proklamasi berkenaan bertarikh 19 April, sedangkan dokumen tersebut dikatakan hanya ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, pada 3 Ogos.

Katanya, terdapat pandangan undang-undang bahawa penurunan takhta berkuat kuasa pada tarikh proklamasi dibuat dan bukannya tarikh tandatangan Menteri Besar.

Bagaimanapun, beliau mengakui persoalan dari sudut undang-undang dan adat masih perlu diperjelaskan.

Shamrahayu berpandangan persoalan mengenai bila proklamasi itu mula berkuat kuasa boleh dibawa ke mahkamah.

“Saya percaya ia boleh dikatakan sebagai justiciable issue (boleh dibawa dan diputuskan di mahkamah).

“Maknanya boleh pergi mahkamah bila sebenarnya proklamasi itu berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata persoalan itu penting kerana wujud tempoh antara 19 April dan 3 Ogos yang mempunyai implikasi terhadap tindakan pentadbiran negeri.

BACA JUGA ‘Kes berlaku 2020, masa itu masih ahli Umno’ – Akmal ditempelak kes pelaburan RM10 juta