Anwar dukacita pelajar 16 tahun meninggal di sekolah, arah siasatan segera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan dukacita atas pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Anwar turut menyampaikan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah serta mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, beliau telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kematian serta kejadian sebenar yang berlaku.

Katanya, sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur jenayah, tindakan tegas perlu diambil mengikut undang-undang.

“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku.

“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang,” katanya.

Perdana Menteri berkata keselamatan kanak-kanak dan pelajar merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diberikan perhatian serius.

“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.

“Al-Fatihah,” katanya.