‘Nak rasa hidup berkat undilah Pas’ – Kenyataan pemimpin Pas Pahang cetus reaksi ramai
Ucapan seorang pemimpin Pas Pahang yang tular di media sosial, menyeru orang ramai menyokong parti itu untuk mendapat keberkatan dalam hidup mengundang sindiran ramai.
Dalam ceramah baru-baru ini, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, orang Pahang tidak mempunyai pilihan jika mahu merasai hidup berkat, melainkan dengan hanya mengundi dan memenangkan Pas.
“Orang Pahang nak rasa hidup berkat, tuan-tuan tak ada pilihan. Bersama-samalah kita undi Pas dan menangkan Pas terutama jentera-jentera kita. Boleh dapat pahala. Setiap keringat yang mengalir, setiap peluh dan wang kita sumbangkan akan dinilai,” katanya.
Ucapan beliau mencetuskan reaksi ramai yang mempersoalkan kecenderungan Pas menggunakan soal agama, termasuk konsep dosa, pahala, syurga dan keberkatan, dalam naratif politiknya.
Mereka menyindir, mengatakan jika di Kelantan undi Pas dikaitkan dengan syurga, di Pahang pula ia dikaitkan dengan kehidupan yang berkat.
“Kalau di Kelantan undi Pas masuk syurga. Kalau di Pahang, nak berkat undi Pas,” sindir seorang pengguna media sosial.
Ada juga netizen yang menyindir bahawa mereka sanggup hidup dalam keadaan yang jauh dari kemudahan asas asalkan hidup mereka berkat kerana mengundi Pas.
“Tak apa lah kalau air berkarat, stesen bas penuh tahi lembu, pemimpin janji tapi tak tepati janji. Tak apa lah, janji hidup kita berkat undi Pas,” tulis seorang lagi pengguna.
Ucapan beliau itu telah membuka ruang kepada perdebatan lebih luas mengenai penggunaan sentimen agama dalam politik, khususnya apabila sokongan kepada sesebuah parti dikaitkan dengan ganjaran pahala atau keberkatan hidup.
Bagi pengkritik Pas, pendekatan sedemikian dilihat tidak wajar kerana prestasi, dasar dan kemampuan mentadbir mendahului segalanya.