PN kemuka saman cabar notis RoS gantung kegiatan parti

Perikatan Nasional (PN) telah memfailkan permohonan semakan kehakimam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar notis dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mahu menggantung semua kegiatan gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan itu difailkan pada 10.14 pagi, Isnin, dengan lima setiausaha agung parti anggota gabungan dinamakan sebagai pemohon.

Menurut Sinar Harian, respondennya ialah Ketua Pengarah RoS, Datuk Muhammad Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

RoS pada 24 September mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN, di mana perintah penggantungan itu dikeluarkan bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melakukan pelanggaran terhadap aturan pertubuhannya.

Menurut RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September 2026.

RoS menjelaskan notis berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan yang dikemukakan oleh Bersatu.