Loke sentuh isu N. Sembilan belum selesai, Fadhli pula ‘sembang ke laut’ serang Kerajaan Persekutuan
Pendirian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengenai kemelut Negeri Sembilan yang masih berlarutan akhirnya mengundang reaksi panjang Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.
Dia mempertahankan bahawa kemelut tersebut tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi terhadap “perpaduan ummah”.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat ‘sembang ke laut’ lantaran menyentuh Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan Pulau Pinang.
Loke sebelum ini berpandangan kemelut berkenaan boleh menjejaskan momentum naratif perpaduan Melayu-Islam Umno-Pas memandangkan Umno sebelum ini memberi gambaran mampu menyelesaikan krisis tersebut apabila membentuk kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Seremban berkenaan turut mengaitkan perkembangan itu dengan keyakinan pengundi terhadap kerjasama Umno-Pas, sambil menyifatkan apa yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai ujian terhadap gabungan itu selepas mengambil alih pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, Fadhli menolak pandangan itu dan berkata dia juga berhak menyatakan apa yang diyakininya, termasuk bahawa momentum “perpaduan ummah” akan terus berkembang dan memberi cabaran kepada DAP serta PH pada pilihan raya akan datang.
Bercanggah
Terus tidak menjawab kesan kemelut Negeri Sembilan terhadap kerjasama Umno-Pas, Fadhli kemudian ‘melarikan’ hujah kepada tindakan Kerajaan Persekutuan dengan mendakwa pendirian Perdana Menteri dalam isu itu perlu turut dinilai.
Wakil rakyat Pas itu turut mendakwa perkara membabitkan hubungan institusi diraja dan pentadbiran negeri sepatutnya dirujuk dengan lebih berhati-hati, selain mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang dituduhnya sebagai “berpihak”.
Walau bagaimanapun, dakwaan Fadhli itu bercanggah dengan rekod kenyataan kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mesti mematuhi sepenuhnya proses perlembagaan dan undang-undang.
Perdana Menteri turut menegaskan urusan menurunkan Raja bukan perkara kecil.
Fadhli turut mempersoalkan AGC dan bertanya sama ada tafsiran sama akan digunakan sekiranya Kerajaan Persekutuan bertukar tangan.
AGC sebelum ini menyatakan proklamasi 19 April lalu sebagai tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tidak berhenti di situ, Fadhli membawa pula Pulau Pinang ke dalam perbahasan dengan membangkitkan keadaan hipotetikal jika peruntukan perlembagaan yang sama digunakan terhadap Exco di negeri yang dikuasai DAP.
“Oleh kerana saudara (Loke) bercakap tentang apa yang saudara yakin, saya juga menulis tentang apa yang saya yakin.
“Saudara berhak yakin bahawa kemelut Negeri Sembilan akan menjejaskan momentum perpaduan Melayu-Islam.
“Saya pula yakin, Insya Allah, momentum perpaduan ummah akan terus berkembang dan rakyat akan menilai bukan sahaja apa yang berlaku di Negeri Sembilan, tetapi juga peranan Kerajaan Persekutuan serta institusi-institusi yang terlibat dalam keseluruhan episod ini.
“Anda berhak yakin. Kenapa tidak saya?” perli Fadhli menerusi hantaran di Facebook.
BACA JUGA Bil import makanan susut RM1 bilion, usaha pengeluaran tempatan mula berhasil