Sanusi bidas Umno: ‘Deme tak pernah berubah, deme tak mungkin berubah’

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Umno dengan mendakwa parti itu tidak pernah berubah dan tidak mungkin berubah, sambil mengaitkan perkara itu dengan pelantikan seorang pemimpin Umno bahagian sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam ucapannya, Sanusi mempersoalkan pelantikan pemimpin politik ke dalam struktur pengurusan universiti, terutama jika individu terbabit tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran institusi pengajian tinggi.

“Deme tak pernah berubah. Dan deme tak mungkin berubah.” katanya.

Untuk penjelasan, perkataan ‘deme’ adalah dialek daerah di Kedah, merujuk kepada Umno dalam konteks ucapan yang dilafaz Sanusi

Sanusi berkata pelantikan pemimpin Umno bahagian ke Lembaga Pengarah UUM menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana politik parti boleh mempengaruhi institusi pengajian tinggi.

“Tadi tuan-tuan, saya tengok ada seorang pemimpin Umno bahagian dilantik ahli Lembaga Pengarah UUM,” katanya.

Menurutnya, universiti sepatutnya menjadi institusi yang bebas daripada kepentingan politik kepartian, khususnya dalam soal pelantikan individu ke jawatan pengurusan atau lembaga pengarah.

“Itu mengesahkan bahawa politik telah menyerap masuk ke institusi pengajian tinggi,”dakwanya.

Sanusi mendakwa keadaan itu berlaku apabila individu yang pengalaman utamanya dalam politik diberikan kedudukan dalam lembaga pengarah universiti.

“Bila ahli-ahli lembaga pengarah universiti dilantik daripada kalangan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat bahagian yang tak ada pengalaman dalam pentadbiran universiti, hanya berpengalaman dalam bidang politik, kita tak nak,” menurutnya.

Beliau berkata pelantikan sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya ia menyebabkan kepentingan politik dibawa masuk ke dalam pengurusan institusi pendidikan tinggi.

“Orang yang menjaga kepentingan politik, maka universiti itu jadi kubu mereka. Patut tak boleh buat begitu,”tegasnya.

Sanusi turut menyentuh satu kejadian membabitkan penggunaan kemudahan universiti apabila beliau mendakwa pihaknya sebelum itu berdepan keadaan yang berbeza ketika mengadakan program di lokasi berkenaan.

Katanya, apa yang dipersoalkan ialah apabila sesuatu program dikaitkan dengan pihak tertentu, terdapat alasan atau halangan, sedangkan program lain kemudiannya boleh berlangsung di tempat sama.

“Dua tiga hari lepas tu berdatang program di dewan tu, tak ada apa pun, tak runtuh pun,” katanya.

Sanusi kemudian mengulangi kritikan terhadap Umno dengan menggunakan istilah “deme” yang lazim digunakan dalam loghat Kedah bagi merujuk kepada pihak yang dimaksudkan dalam ucapannya.

“Deme tak pernah berubah dan deme tak mungkin berubah,”tegasnya.

Beliau berkata isu berkenaan bukan sekadar mengenai seorang individu yang dilantik ke dalam lembaga pengarah, tetapi menyentuh persoalan lebih besar mengenai pengaruh politik terhadap institusi pengajian tinggi.

Sanusi turut menegaskan bahawa individu yang dilantik ke jawatan dalam universiti sewajarnya mempunyai pengalaman dan kefahaman berkaitan pengurusan institusi berkenaan, bukan semata-mata latar belakang politik.

Isu campur tangan politik dalam institusi pengajian tinggi sebelum ini turut menjadi bahan perdebatan, termasuk mengenai pelantikan ahli lembaga pengarah dan pengurusan universiti. 

Bagaimanapun, pelantikan ke lembaga pengarah universiti adalah tertakluk kepada proses serta kuasa pihak berkuasa yang ditetapkan undang-undang.

BACA JUGA Belum tahu siapa pelaku khianati masjid di Kelantan, boleh pula salahkan kerajaan Madani