ABIM harap Belanjawan 2027 beri kelegaan buat golongan muda
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini memberi perhatian kepada tekanan kos sara hidup yang dihadapi golongan muda.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, bantuan kepada golongan terjejas perlu disertai peluang untuk memperbaiki taraf kehidupan, selain memastikan jumlah bantuan, jadual penyaluran dan syarat kelayakan benar-benar bersesuaian dengan keperluan penerima.
“Peruntukan dalam belanjawan kali ini wajar mengutamakan golongan berpendapatan rendah, termasuk keluarga muda, serta mereka yang kehilangan pekerjaan atau berdepan pendapatan tidak menentu.
“Kekerapan bayaran perlu dinilai bersama jumlah bantuan dan syarat kelayakan berdasarkan pendapatan semasa, tanggungan keluarga serta kos keperluan asas.
“Penambahan bantuan mesti benar-benar meringankan beban penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata, ABIM mencadangkan majikan yang menerima insentif latihan dan peningkatan produktiviti melaporkan kesannya terhadap gaji serta kemajuan kerjaya pekerja.
Laporan Survei Gaji dan Upah 2025 menunjukkan median gaji dan upah bulanan warganegara meningkat daripada RM2,793 pada 2024 kepada RM2,940 pada 2025.
“Peningkatan ini wajar diakui, namun bukan gambaran khusus gaji belia. Jika kenaikan gaji habis menampung sewa serta kos perjalanan, pekerja muda masih mempunyai ruang yang terhad untuk menghadapi kecemasan dan merancang kehidupan.
“Oleh itu, penyediaan perumahan perlu mengambil kira lokasi pekerjaan dan akses pengangkutan awam.
“Kami mengusulkan peluasan rumah sewa yang selamat dan mampu dibayar, disertai bantuan deposit bersasar kepada belia yang perlu berpindah untuk bekerja,” katanya.