Audit dedah 10 surat teguran isu LCS sangkut, nama Najib, Zahid kembali timbul?
Sepuluh surat teguran yang pernah dikemukakan bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) kembali menjadi perhatian selepas laporan audit negara terbaharu.
Laporan mendapati projek berkenaan masih mengalami kelewatan.
Lebih membimbangkan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati kemajuan keseluruhan projek LCS ketinggalan 7.55 peratus, dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari setakat 25 Jun lalu.
Dapatan terbaharu itu turut memberi risiko kepada penyerahan fizikal (PHO) LCS 1 yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos 2026, sebelum sasaran baharu ditetapkan pada 26 Disember ini.
Menurut Jabatan Audit Negara (JAN), sekiranya LCS 1 diserahkan mengikut jadual berkenaan, kapal itu masih belum mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan belum disempurnakan.
Lebih mengejutkan, kesiapsiagaan penuh LCS dikaitkan dengan beberapa Kontrak Pelengkap yang hanya dijangka dapat disempurnakan pada Disember 2035, iaitu kira-kira lima tahun selepas tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030.
Keadaan itu juga memberi kesan berantai terhadap jadual penyerahan LCS 2 hingga LCS 5, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai tempoh sebenar projek pertahanan bernilai berbilion ringgit itu dapat mencapai keupayaan seperti ditetapkan.
Dalam konteks itu, perhatian turut kembali kepada dapatan PAC sebelum ini mengenai teguran bekas Panglima TLDM, Abdul Aziz, yang menurut rekod prosiding telah mengemukakan surat berkaitan kebimbangan terhadap tatacara perolehan projek LCS.
Antara surat berkenaan ditujukan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Abdul Aziz memberi gambaran bahawa teguran beliau dibuat kerana TLDM, sebagai pengguna akhir, tidak diberikan kedudukan sewajarnya dalam proses perolehan.
Malah, dalam prosiding PAC, Abdul Aziz menyifatkan keputusan berkaitan proses perolehan sebagai “something is gravely wrong”, selepas pandangan TLDM tidak diambil kira dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Laporan PAC 2022 sebelum ini turut mendapati kerajaan telah membayar RM6.083 bilion bagi projek LCS, namun tiada sebuah kapal pun disiapkan mengikut jadual asal ketika itu.
PAC juga mendapati proses due diligence kerajaan terhadap Boustead Naval Shipyard (BNS) gagal mengesan masalah kewangan syarikat sehingga kerajaan membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion.
Namun, isu LCS kini bukan lagi sekadar mengenai bagaimana projek itu bermula.
Audit terbaharu menunjukkan persoalan pengurusan kontrak dan penyelarasan projek masih wujud ketika kerajaan cuba memastikan kapal pertama dapat diserahkan.
LKAN 2/2026, misalnya, mendapati beberapa Kontrak Pelengkap masih belum dimuktamadkan.
Bagi kontrak Integrated Logistics Support and Trial Aids (ILS-TA) bernilai RM535.37 juta, dokumen kontrak masih belum dimuktamadkan secara rasmi setakat 25 Jun lalu walaupun dua bayaran kemajuan berjumlah RM100 juta telah dibuat.
JAN mengesyorkan Kementerian Pertahanan menetapkan pelan tindakan pemulihan yang realistik, selain memperkukuh pemantauan dengan menetapkan pegawai bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian bagi setiap isu kritikal.
Jadi, persoalan LCS hari ini bukan lagi sekadar siapa yang menulis surat teguran dan siapa yang tidak mendengarnya.
Persoalan lebih besar ialah mengapa selepas bertahun-tahun dan berbilion ringgit dibelanjakan, projek yang sepatutnya memperkukuh pertahanan negara masih berdepan kelewatan, kontrak pelengkap yang belum selesai dan risiko kapal diserahkan tanpa keupayaan penuh.
BACA JUGA Gelar penyokong BUDI95 ‘bodoh’, lelaki ini kena lagi pedas dengan netizen