Empat Undang tarik diri kes nak jatuhkan Tuanku Muhriz, tetapi kena bayar RM160,000
Empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang bagi empat luak di Negeri Sembilan termasuk yang dipertikai menarik balik permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan kebenaran memaksa Menteri Besar menandatangani pengisytiharan bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Norliza Othman, membenarkan penarikan balik permohonan itu selepas peguam mereka, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, memaklumkan bahawa beliau menerima arahan untuk menghentikan prosiding berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah turut menghalang keempat-empat pemohon daripada memfailkan permohonan baharu berhubung perkara sama.
Norliza juga memerintahkan setiap pemohon membayar kos RM10,000 kepada setiap daripada empat pihak yang dicadangkan untuk mencelah dalam kes itu, menjadikan jumlah keseluruhan RM160,000.
Memetik laporan portal FMT, empat pihak pencelah berkenaan ialah Undang Sungai Ujong, Faris Johari, Undang Rembau, Hassan Ab Hamid, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Bagaimanapun, pemohon tidak diperintahkan membayar kos kepada responden, iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri.
Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili Jabatan Peguam Negara, tidak membantah penarikan balik permohonan berkenaan.
Namun, peguam yang mewakili DKU dan Raja Norazli, Steven Thiru, meminta mahkamah mengenakan kos RM10,000 bagi setiap anak guamnya.
Menurut Thiru, penarikan balik itu berlaku selepas pemohon didakwa gagal mendedahkan bahawa mereka telah terlebih dahulu memulakan prosiding berkaitan di Mahkamah Tinggi Seremban bersama dua individu lain.
“Paling penting, permohonan ini merupakan satu penyalahgunaan proses kerana keempat-empat pemohon tidak mendedahkan prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban,” katanya.
Thiru mendakwa pemohon memilih Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan kes berkenaan walaupun prosiding berkaitan sudah berjalan di Seremban.
Katanya, DKU dan Raja Norazli sebelum ini memperoleh injunksi pada 5 Jun serta kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap enam individu pada 8 Julai.
“Ini adalah kes jelas forum shopping selain penyembunyian fakta material daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya merujuk kepada permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 17 Julai.
Thiru berkata kegagalan membuat pendedahan penuh dan terus terang kepada mahkamah juga merupakan tindakan yang tidak menghormati proses kehakiman.
“Mereka mahu menentukan apa yang patut dan tidak patut diketahui mahkamah,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan mengenakan kos terhadap pemohon boleh memberi gambaran seolah-olah pihak yang berlitigasi mempunyai lesen untuk menyalahgunakan proses mahkamah.
Peguam Robert Low yang mewakili Hassan dan Jasmine Irisa Ahmad Mirza yang mewakili Faris turut menyokong hujahan Thiru.
Permohonan mencelah dalam kes itu difailkan pada Ogos oleh DKU, Raja Norazli, Faris dan Hassan, termasuk bagi mendapatkan keseluruhan dokumen prosiding.
Kemelut berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tercetus selepas empat individu yang mendakwa mempunyai kedudukan sebagai Undang pada April lalu mengumumkan pengisytiharan penurunan takhta baginda. Kedudukan pengisytiharan itu bagaimanapun terus dipertikaikan dari sudut undang-undang dan perlembagaan negeri.
Dalam perkembangan berasingan sebelum ini, Jabatan Peguam Negara turut menyatakan bahawa tindakan Exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
BACA JUGA Gaji minimum: Pekerja perlu gaji lebih baik, majikan perlu ruang untuk bertahan