Menjelang Belanjawan 2027, Fahmi nasihat jangan terpedaya info palsu sebelum bajet dibentang PMX

Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak mendahului pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyebarkan maklumat belum disahkan.

Ini termasuklah grafik mengelirukan serta imej dimanipulasi atau kandungan dipaparkan seolah-olah sebagai pengumuman rasmi.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata orang ramai perlu lebih berhati-hati terhadap bahan yang menyalahgunakan gambar atau logo organisasi media bagi menimbulkan tanggapan bahawa maklumat berkenaan adalah sahih atau bersumberkan saluran rasmi.

“Saya menjangkakan mungkin ada pihak yang cuba mendahului ucapan Perdana Menteri. Tidak perlulah menggunakan media sosial untuk berbuat demikian.

“Mungkin ada pihak yang menyalahgunakan gambar atau logo organisasi media dan menghasilkan grafik yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan apa yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kementerian Komunikasi hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Erwin Khairul Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Sementara itu, Fahmi menasihatkan orang ramai supaya mengikuti ucapan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media serta membandingkan sebarang maklumat yang tular di media sosial dengan laporan daripada organisasi media rasmi dan berwibawa seperti Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Semak dengan teliti sama ada maklumat itu sahih atau sebaliknya…jangan terus percaya atau berkongsi sesuatu maklumat hanya kerana ia kelihatan meyakinkan atau memaparkan logo sesebuah organisasi media,” katanya.

Fahmi berkata pengguna media sosial yang mengesan kandungan mencurigakan atau disyaki palsu perlu melaporkannya kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan segera dapat diambil.