Litar Lumba Sungai Petani terbengkalai, RM40 juta pula lesap…Kredibiliti Sanusi dikritik
Kelmarin, isu penyelewengan wang RM40 juta yang dikaitkan dengan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani menggemparkan ramai pihak.
Rentetan itu seorang pengarah syarikat telah ditahan kerana disyaki melakukan pecah amanah membabitkan wang berkenaan.
Perkembangan itu sekali lagi meletakkan projek yang sekian lama diwar-warkan kerajaan Kedah di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam radar perhatian awam.
Sejak semalam, projek litar berkenaan mula menjadi bahan sindiran dan troll netizen di media sosial, dengan banyak hantaran mengaitkannya secara langsung dengan Sanusi.
Bukan sahaja kerana isu RM40 juta tersebut, tetapi kerana Sanusi sudah banyak kali dikaitkan dengan pelbagai pengumuman besar namun tidak pernah berhasil.
Di media sosial, Sanusi disindir sebagai “Bapa Pengumuman”, gelaran sinis terhadap pemimpin yang dilihat banyak mengumumkan projek, tetapi pelaksanaannya pula terus dipersoalkan.
Pada 2022 Sanusi menjangkakan litar berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, selain mendakwa bahawa projek itu sudah mencapai sekitar 70 peratus kemajuan.
Namun, selepas bertahun-tahun, litar itu masih belum dapat dibanggakan.
Lebih menarik, apabila persoalan mengenai janji tersebut dibangkitkan, Sanusi pernah menjelaskan bahawa beliau hanya ‘tukang baca’ teks ketika pengumuman enam bulan itu dibuat.
Kenyataan tersebut pernah dilaporkan secara meluas dan mengundang persoalan orang ramai mengenai sejauh mana seorang Menteri Besar bertanggungjawab terhadap pengumuman projek yang dibuat atas nama kerajaan negeri.
Litar yang sepatutnya menjadi simbol pembangunan Sungai Petani akhirnya menjadi bahan troll terhadap Sanusi sendiri.