Cabar pembatalan jawatan Exco sama macam cabar titah Tuanku, kata Pemuda AMANAH

Tindakan 10 ADUN Negeri Sembilan memfailkan saman pemula bagi mencabar pewartaan pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) disifatkan sebagai tindakan yang mencabar institusi Raja.

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Farid Mohd Mumazaini berkata, tidak seharusnya ADUN-ADUN BN itu berselindung di sebalik nama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri.

Ini kerana hakikatnya pewartaan berkenaan dilaksanakan susulan titah dan penarikan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurutnya, tindakan mencabar pewartaan itu pada asasnya merupakan usaha untuk mengetepikan kesan titah baginda.

“Tindakan 10 ADUN Negeri Sembilan yang memfailkan saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri bagi mencabar pewartaan pembatalan pelantikan mereka sebagai EXCO wajar dikecam sekeras-kerasnya.

“Tindakan untuk membatalkan pewartaan itu pada asasnya merupakan usaha untuk mengetepikan kesan titah baginda. Tindakan ini jelas memperlihatkan penderhakaan terhadap institusi Raja dan tidak boleh dipandang ringan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Farid turut mempersoalkan pendirian 10 ADUN berkenaan yang sebelum ini mengangkat sumpah dan berikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz ketika menerima pelantikan sebagai EXCO.

Katanya, taat setia tidak seharusnya hanya wujud ketika seseorang masih memegang jawatan dan kuasa.

“Mereka sebelum ini telah mengangkat sumpah dan berikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz ketika menerima pelantikan sebagai EXCO. Apabila jawatan ditarik balik, titah yang sama pula mahu dicabar,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil mengikut lunas undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melampaui batas, selain menggesa parti yang diwakili 10 ADUN itu menyatakan pendirian mereka dengan jelas.

“Daulat Tuanku bukan sekadar slogan, dan apabila titah dicabar demi mempertahankan jawatan politik, itu bukan taat setia, itu derhaka,” tambah beliau lagi.