Semua sekolah di Johor ditutup dua hari gara-gara jerebu

Susulan keadaan jerebu yang memburuk dan kemerosotan kualiti udara, semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari bermula esok dan Jumaat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan serta kesihatan pelajar.

“Sehubungan itu, semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober ini sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan serta kesihatan murid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penutupan itu membabitkan 1,198 sekolah dengan 617,258 pelajar.

Dr Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri memahami bahawa keputusan itu mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja.

Oleh itu, beliau berkata, kerjasama dan pertimbangan majikan amat dihargai untuk memberi fleksibiliti bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.

“Bagi sekolah yang terbabit Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) atau mana-mana pentaksiran, pelaksanaannya akan ditangguh serta dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Johor (JPNJ) dan pihak berkaitan.

“Sepanjang tempoh penutupan (sekolah), sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksana bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan,” katanya.