Belanjawan, banjir dan ECRL: Dr Hafidzah mahu rakyat Kelantan benar-benar rasa manfaat pembangunan
Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 esok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim mengingatkan bahawa ukuran sebenar sesebuah belanjawan bukan sekadar angka besar yang diumumkan, sebaliknya sejauh mana manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata rakyat lebih mahu melihat kesan langsung terhadap kehidupan seharian, khususnya dalam aspek pendapatan, pekerjaan, kemahiran serta tekanan kos kehidupan.
Menurut Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu, peniaga kecil memerlukan lebih banyak peluang menambah pendapatan, manakala anak muda pula memerlukan pekerjaan dan kemahiran yang boleh membuka ruang masa depan lebih baik.
Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Nasional berkenaan turut menekankan keperluan memberi perhatian kepada golongan wanita yang menjaga anak, ibu bapa berusia, ahli keluarga orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang terlantar.
Bagi kawasan DUN Kota Lama, Dr Hafidzah berkata, isu asas termasuk bekalan air bersih, perumahan, kesihatan, saliran, kemudahan awam serta persekitaran bandar yang selamat untuk pejalan kaki perlu terus diberi perhatian.
Penjagaan sungai
Dalam masa sama, beliau menyentuh isu pengurusan sungai dan tebatan banjir susulan perhatian terhadap projek Sungai Golok, sambil menegaskan bahawa penjagaan sungai tidak seharusnya dilakukan hanya ketika musim tengkujuh.
Dr Hafidzah berkata, beliau sedang membawa cadangan Denai Sungai Kota Lama melibatkan Alor A dan Sungai Budor, bukan sekadar sebagai kawasan rekreasi tetapi turut merangkumi usaha membersihkan kawasan, memperbaiki aliran air, menjaga tebing serta mengurangkan risiko banjir.
“Sungai jangan menjadi belakang rumah kita. Kita jadikan sungai sebahagian daripada kehidupan bandar,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kesiapsiagaan Kota Bharu menjelang operasi ECRL, khususnya dari segi sistem pengangkutan awam, hentian bas, laluan pejalan kaki serta kemudahan untuk warga emas dan OKU.
Menurut beliau, kehadiran ECRL juga perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi buat peniaga kecil, Pasar Siti Khadijah, sektor makanan tempatan, kawasan warisan serta tarikan di pusat bandar.
“ECRL boleh membawa lebih ramai orang ke Kelantan. Tugas kita ialah memastikan kedatangan mereka turut membawa peluang dan manfaat kepada rakyat Kelantan,” kata Dr Hafidzah lagi.