Deepfake pemimpin politik makin membimbangkan, 713 kandungan sudah diturunkan
Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau deepfake melibatkan pemimpin parti politik telah diturunkan pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September tahun ini.
Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan penurunan berkenaan dibuat hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
“Bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan MCMC adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat,” menurut Kementerian Komunikasi.
Jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen itu bagi menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamuddean (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake melibatkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026.
Menurut kementerian itu, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk deepfake, scam (penipuan) dan pemalsuan identiti ditangani berdasarkan sifat dan elemen kesalahan serta bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau kandungan memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” menurut kementerian itu.
Dalam kes membabitkan tindakan pendakwaan, rujukan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian dan pendakwaan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.
Kementerian Komunikasi turut memaklumkan terdapat mekanisme semak dan imbang di bawah undang-undang yang dikawal selia MCMC bagi memastikan suruhanjaya itu bertindak adil, bebas tanpa sebarang tekanan luaran.
Antaranya, pihak yang terkilan boleh membuat rayuan terhadap tindakan dan keputusan MCMC di Tribunal Rayuan yang diwujudkan di bawah Akta 588 serta Akta 866 dan seterusnya membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sekiranya tidak berpuas hati terhadap keputusan Tribunal Rayuan.
BACA JUGA Belanjawan, banjir dan ECRL: Dr Hafidzah mahu rakyat Kelantan benar-benar rasa manfaat pembangunan