Dr Dzulkefly umum 500 kuota kepakaran untuk doktor di Sabah dan Sarawak
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkhususkan kira-kira 500 tempat latihan kepakaran kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah itu mewakili kira-kira 30 peratus daripada 1,650 tempat Hadiah Latihan Persekutuan yang ditawarkan ketika ini.
Menurutnya, langkah berkenaan dibuat bagi menghargai pengorbanan pegawai perubatan yang sanggup berkhidmat di kedua-dua negeri, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk meneliti dan seterusnya melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung jumlah doktor yang gagal melapor diri di Sabah dan Sarawak selepas tempoh melapor diri tamat pada 7 Oktober.
D Dzulkefly memaklumkan, 63 peratus pegawai perubatan telah melapor diri di kedua-dua negeri daripada keseluruhan penempatan yang ditawarkan.
Di Sarawak, seramai 337 daripada 527 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan telah melapor diri, manakala di Sabah, 336 daripada 528 orang berbuat demikian.
Menurutnya, kadar pegawai yang gagal melapor diri menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2025, namun beliau mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian itu.
Antara alasan diberikan pegawai yang menolak penempatan ialah faktor berjauhan daripada keluarga, tidak bersedia bertugas di luar bandar, mahu berada berdekatan pasangan atau ibu bapa serta masalah kesihatan, logistik dan kos perpindahan.
KKM turut melaksanakan beberapa langkah lain bagi menggalakkan lebih ramai doktor berkhidmat di Sabah dan Sarawak, termasuk menambah baik sistem e-Housemen atau e-Placement, memberi taklimat mengenai proses penempatan serta mengeluarkan keputusan penempatan lebih awal.
Langkah itu dibuat susulan laporan beberapa hospital di Sabah dan Sarawak berdepan kekurangan pegawai perubatan selepas tiada doktor baharu melapor diri bagi pengambilan jawatan tetap bulan ini.
BACA JUGA Deepfake pemimpin politik makin membimbangkan, 713 kandungan sudah diturunkan