Sebar kandungan kematian palsu, MCMC panggil individu bantu siasatan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung penyebaran kandungan yang disyaki palsu di Facebook yang mengaitkan dua insiden berasingan membabitkan kematian pelajar di Indonesia dan Malaysia.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata hantaran yang dimuat naik pada 5 Oktober lalu itu mengaitkan kematian seorang pelajar lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dengan kes kematian Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.

Menurutnya, kandungan berkenaan turut mengaitkan kedua-dua insiden dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham berhubung sistem persekolahan di Malaysia.

Susulan penyebaran kandungan itu, MCMC berkata rakaman percakapan individu berkenaan telah diambil pada 7 Oktober bagi membantu siasatan.

“Satu (1) unit telefon bimbit berserta kad SIM yang digunakan oleh suspek untuk memuat naik kandungan berkenaan telah disita bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC berkata pihaknya memandang serius penyebaran kandungan palsu yang bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan perasaan serta sensitiviti keluarga dan rakan mangsa.

Menurut suruhanjaya itu, perkara berkenaan lebih membimbangkan apabila kandungan yang disebarkan menyentuh insiden membabitkan kehilangan nyawa.

MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan fakta dan sumber terlebih dahulu sebelum memuat naik atau berkongsi sesuatu kandungan di media sosial.

“MCMC menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan fakta dan sumber sebelum memuat naik atau berkongsi kandungan, di samping menghormati sensitiviti pihak yang terkesan dan menggunakan platform media sosial secara beretika serta bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

BACA JUGA Dr Dzulkefly umum 500 kuota kepakaran untuk doktor di Sabah dan Sarawak