Mat Sabu beri ingatan: Jangan biar Melaka ulang episod Negeri Sembilan

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa pengundi Melaka mengambil iktibar daripada kemelut politik Negeri Sembilan dengan memastikan kestabilan pentadbiran negeri menjadi pertimbangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata perebutan kuasa di tengah penggal hanya menyebabkan ketidakstabilan politik, yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan yang dibentuk menerusi pilihan raya sepatutnya diberi ruang untuk menyelesaikan tempoh mandat, bukannya dijatuhkan melalui percaturan politik sebelum penggal berakhir.

“Biarlah apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu sebagai satu pengajaran. Di Melaka ini tolong kembalikan pemerintahan kepada PH,” katanya ketika berucap dalam ceramah Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Melaka, malam tadi.

Seruan itu dibuat ketika PH berdepan persaingan bagi kesemua 28 kerusi DUN Melaka, dengan gabungan berkenaan sebelum ini menyatakan pendirian untuk bertanding secara solo dalam PRN kali ini. 

Mohamad turut mengaitkan keadaan itu dengan perkembangan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), termasuk Langkah Sheraton yang menyaksikan perubahan kerajaan Persekutuan sebelum penggal Parlimen berakhir.

Menurutnya, budaya menjatuhkan kerajaan melalui perebutan kuasa di tengah penggal tidak seharusnya berulang kerana rakyat akhirnya perlu menanggung kesannya sebelum kembali menentukan pilihan menerusi pilihan raya.

“Kenapa jatuh? Sheraton Move. Kenapa Sheraton Move? Tamak nak ambil kuasa di tengah jalan. Tak mahu tunggu pilihan raya. Kita kalau tunggu pilihan raya selepas lima tahun, tak apa,” katanya.

Dalam konteks PRN Melaka, Mohamad berkata beliau yakin PH mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya memperoleh lebih 15 kerusi DUN.

“Melaka ini tempat kita nak meletakkan politik Malaysia di landasan yang betul semula,” katanya.

PRN Melaka kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi 28 kerusi DUN, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November. 

Pada pilihan raya negeri sebelumnya pada 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi. 

Kempen PRN kali ini turut menyaksikan rundingan mengenai bentuk kerjasama antara parti semakin rancak, dengan BN sebelum ini mengadakan perbincangan dengan PH dan PN sebelum memuktamadkan rakan kerjasama. 

Dalam perkembangan terbaharu, PH Melaka bagaimanapun mengekalkan pendirian untuk bergerak secara solo selepas ketiga-tiga parti komponennya bersetuju dengan pendekatan berkenaan. 

Dengan hari pengundian berbaki lebih sebulan, isu kestabilan pentadbiran, pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama politik dijangka terus menjadi antara perkara yang mendapat perhatian dalam kempen PRN Melaka.