‘Melaka Rumah Kita’ slogan PH tawan Melaka
Pakatan Harapan (PH) mahu menjadikan gagasan “Melaka Rumah Kita” sebagai taruhan utama untuk merampas semula pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, dengan manifesto dan tawaran berkaitan masa depan rakyat bakal didedahkan menjelang hari pengundian.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata gagasan itu akan menggariskan hala tuju yang ingin dibawa gabungan berkenaan, termasuk aspirasi pembangunan negeri dan usaha meningkatkan kehidupan rakyat sekiranya diberi mandat.
Beliau berkata gagasan itu akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula dengan pembukaan Bilik Gerakan Utama PH Melaka yang disifatkannya sebagai batu asas kepada gerak kerja pilihan raya gabungan itu.
“Apa dia Melaka Rumah Kita? Nanti saya akan bentangkan sepanjang tempoh menjelang kempen dan juga hari mengundi… manifesto dan juga gagasan kita tentang masa depan Melaka, tentang kehidupan rakyat Melaka, tentang apa yang kita impikan buat Melaka di masa depan,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Melaka malam tadi.
Beliau berkata PH akan menggerakkan kempen secara positif dengan menumpukan perhatian kepada tawaran dasar dan perancangan masa depan, bukannya bergantung semata-mata kepada retorik politik untuk meraih sokongan pengundi.
Menurutnya, PH juga mempunyai pengalaman mentadbir Melaka, termasuk ketika Adly Zahari menjadi ketua menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
“Di sinilah tapak yang sedang kita buat… Melaka itu rumah kita, batu asasnya telah ditanam lama… kawan-kawan DAP telah mempunyai asas di kawasan Kota Melaka, Ayer Keroh dan DUN-DUN yang berkenaan,” katanya.
Amirudin berkata PH akan berusaha mendapatkan semula kerusi yang pernah dimenangi parti-parti komponennya, termasuk DAP, PKR dan AMANAH.
“Insya-Allah, kita boleh rampas balik kawasan-kawasan tradisi kita… Parti Keadilan Rakyat ada kerusi-kerusi tradisi yang pernah kita menangi… begitu juga AMANAH… jadi, kita datang Melaka bukan hanya dengan menawarkan sesuatu yang di awang-awangan… kita pernah ada pengalaman,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon bagi PRN Melaka ke-16, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) menang besar dengan memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) mendapat dua kerusi.
Dengan gagasan “Melaka Rumah Kita” dan manifesto yang masih menunggu pembentangan, PH kini perlu meyakinkan pengundi bahawa tawarannya mampu menyaingi kedudukan BN yang menguasai majoriti besar kerusi pada pilihan raya lalu.
BACA JUGA Tiga beradik maut kemalangan ketika ke sekolah, Anwar zahir simpati