PMX bentang Belanjawan MADANI Ke-5, aspirasi menggapai di langit, mengakar di bumi 

Bagaimana memastikan kemajuan negara dapat dirasai setiap lapisan masyarakat, bukan sekadar tercermin pada angka pertumbuhan ekonomi? Persoalan itu menjadi antara aspirasi utama Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat petang ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan MADANI kelima itu meneruskan tekad kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat, membela nasib mereka dan memastikan setiap individu dapat hidup secara bermaruah.

Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menyifatkan belanjawan berkenaan sebagai usaha mengimbangi aspirasi pembangunan negara dengan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

“Insya-Allah petang ini saya akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan aspirasi untuk menggapai di langit serta mengakar di bumi,” katanya.

Menurut Anwar, belanjawan itu akan meneruskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kemajuan negara membawa manfaat yang lebih menyeluruh, termasuk dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat.

“Belanjawan MADANI kelima ini meneruskan tekad untuk memastikan kemajuan negara dirasai setiap rakyat, agar taraf kehidupan terus ditingkatkan, nasib mereka terbela dan setiap daripada kita dapat hidup secara bermaruah,” katanya.

Pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang ini dan boleh diikuti secara langsung menerusi semua saluran televisyen serta platform digital utama.

Tumpuan kini terarah kepada perincian langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup, memperluas peluang ekonomi dan memastikan manfaat pembangunan negara dapat dinikmati rakyat secara lebih adil.

Belanjawan MADANI kelima itu juga menjadi medan untuk kerajaan memperincikan keutamaan ekonomi dan sosial bagi tahun hadapan, dengan harapan pertumbuhan negara dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan isi rumah serta peluang yang lebih baik untuk rakyat.

BACA JUGA Komposisi kaum warganegara Malaysia 2016 – 2026, 10 tahun berlalu : Bumiputera kini 70.7 peratus, Cina 22 peratus