Belanjawan 2027: SARA MADANI RM100 dua kali, 13 juta rakyat termasuk M40 dapat manfaat
Kerajaan MADANI mengumumkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada 2027 kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), termasuk golongan M40.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri dan sekali lagi menjelang ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, sekali gus memperluas bantuan SARA kepada golongan berpendapatan sederhana.
Pengumuman itu dibuat ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Anwar turut mengumumkan peruntukan bagi program STR dan SARA pada tahun depan ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.
“Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun,” katanya.
Peningkatan itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima STR di seluruh negara, khususnya dalam membantu menampung perbelanjaan barangan keperluan asas.
Selain itu, kerajaan bersetuju memperluas penggunaan SARA bagi pembelian barangan basah dan segar, yang boleh diperoleh di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Langkah tersebut membolehkan penerima menikmati pilihan barangan makanan yang lebih luas, termasuk keperluan dapur harian, selain barangan asas yang sebelum ini dibenarkan melalui program SARA.
Secara keseluruhan, Anwar berkata kerajaan menyediakan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif pada 2027.
Jumlah itu termasuk subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hampir RM3.3 bilion.