Disyaki hina Islam, SKMM panggil Eric See-To untuk siasatan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan siasatan terhadap individu yang disyaki memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap agama Islam menerusi platform media sosial Facebook.
Difahamkan, individu itu ialah bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To.
Siasatan itu adalah susulan komen beliau tentang perkataan ‘lighad’ dalam Surah al-Hashr, ayat 18, ketika pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu.
Komen berkenaan didakwa mempersendakan ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“SKMM telah memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan komen yang disyaki berunsur penghinaan terhadap agama Islam menerusi platform media sosial Facebook,” menurut kenyataan itu.
Susulan siasatan berkenaan, SKMM turut mengambil rakaman percakapan individu terbabit bagi membantu siasatan, selain menyita sebuah telefon bimbit berserta eSIM untuk pemeriksaan forensik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
SKMM turut menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Eric See-To, atau Lim Sian See, mencetuskan kontroversi dan kemarahan ramai selepas menyentuh perkataan ‘lighad’ yang disebut Anwar.
Beliau dikritik hebat biarpun cuba menjelaskan bahawa komennya mengenai perkataan ‘lighad’ bukan bertujuan menghina al-Quran.