Anwar kecam keras serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh yang mengorbankan nyawa orang awam dan menyebabkan ratusan lagi cedera.

Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.

Anwar dalam kenyataan beliau menegaskan bahawa tiada alasan yang boleh membenarkan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.

Menurut beliau, tindakan yang membahayakan nyawa orang tidak bersalah hanya akan menambahkan penderitaan akibat konflik yang sedang berlaku, selain membawa kesannya ke kawasan yang sepatutnya tidak terjejas.

“Tiada alasan yang boleh membenarkan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang turut menegaskan pendirian Malaysia untuk berdiri teguh bersama Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya ketika berdepan saat genting itu.

Anwar turut menyatakan harapan agar diplomasi dan kewarasan dapat mengatasi konflik berkenaan sebelum ia merebak dengan lebih meluas.

“Kami kekal teguh dengan harapan agar diplomasi dan kewarasan akan mengatasi keadaan sebelum konflik ini meluas dengan lebih jauh,” katanya.