Dakwaan wang pendeposit TH digunakan bayar caruman PERKESO petugas agama tidak benar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menegaskan, dakwaan bahawa wang pendeposit Tabung Haji (TH) digunakan bagi membiayai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk petugas masjid dan guru takmir adalah sama sekali tidak benar.

Beliau berkata, peruntukan bagi membiayai caruman PERKESO untuk 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir di seluruh negara itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan petugas serta pendidik masyarakat yang berkhidmat dalam hal ehwal Islam.

“Peruntukan berkenaan adalah 100 peratus bersumberkan peruntukan khas Kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme TH semata-mata atas kapasiti pengurusan.

“Segala dakwaan atau andaian yang menyatakan wujudnya penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, langkah itu dilaksanakan khusus bagi menjamin kebajikan dan perlindungan sosial golongan yang sentiasa berkhidmat di barisan hadapan syiar Islam.

Beliau turut menegaskan kerajaan kekal komited memelihara integriti pengurusan amanah TH serta memastikan tadbir urus korporat dilaksanakan secara telus berteraskan prinsip Syariah.

“Usaha murni memartabatkan kebajikan para petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi, demi memastikan kemakmuran institusi agama dan keberkatan pembangunan ummah di bumi Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.