‘Berbilion untuk pendidikan, bukan poket perasuah’ – Anwar mahu kontrak kerajaan lebih telus

 Wang berbilion ringgit yang sepatutnya digunakan untuk pendidikan dan masa depan anak-anak tidak boleh dibiarkan diseleweng demi kepentingan peribadi, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggesa tadbir urus dan ketelusan perbelanjaan kerajaan diperkukuh.

Perdana Menteri berkata, penyalahgunaan wang awam bukan sahaja merugikan negara, malah menjejaskan peluang generasi muda mendapatkan pendidikan dan kemudahan yang sepatutnya menjadi keutamaan pembangunan.

“Berbilion-bilion sepatutnya digunakan untuk pelajar dan anak-anak kita, bukannya dicuri oleh perasuah. Saya tidak boleh menerima perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Anwar turut menegaskan masalah utama negara bukan berkaitan kaum atau agama, sebaliknya tindakan individu yang didakwa menggunakan sentimen tersebut untuk melindungi rasuah, keterlaluan dan penyalahgunaan kuasa.

“Masalah di Malaysia bukan berkaitan kaum atau agama, masalahnya ialah penipu yang menggunakan kaum dan agama untuk menyembunyikan keterlaluan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, terdapat pihak yang didakwa membelanjakan berbilion ringgit untuk kepentingan keluarga sendiri, tetapi apabila perkara itu terbongkar, mereka menggunakan alasan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Beliau berkata, kesilapan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk pelajar dan pemimpin, namun perkara penting ialah kesediaan mengakui kesalahan serta mengambil tindakan untuk memperbaikinya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendidikan kekal sebagai keutamaan nombor satu dalam belanjawan negara, diikuti sektor kesihatan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan yang sewajarnya.

Katanya, kerajaan turut meningkatkan perbelanjaan untuk pendidikan, kesihatan dan sokongan sosial, termasuk bantuan kepada pekerja gig serta graduan muda.

Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan besar sahaja tidak mencukupi jika pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek kerajaan tidak disokong tadbir urus yang baik, ketelusan serta usaha membendung ketirisan.

Sehubungan itu, mulai tahun depan, kontrak pembinaan sekolah, hospital, universiti dan jalan raya perlu dirancang secara telus, dengan maklumat penting mengenai projek didedahkan kepada umum.

Maklumat itu termasuk pihak yang memenangi kontrak, nilai projek, syarikat yang dilantik, kemajuan pelaksanaan serta alasan pemilihan kontraktor berbanding pesaing lain.

Menurut Anwar, ketelusan itu perlu diperluas sehingga ke peringkat tempatan supaya masyarakat boleh memantau pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing dan memastikan wang awam digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.

Beliau turut menggalakkan golongan muda mengemukakan teguran dan cadangan bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran, termasuk dalam aspek kebersihan, pendigitalan serta penyampaian perkhidmatan awam.

Anwar berkata, pemimpin muda perlu menjadikan integriti, kerja keras dan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat sebagai asas kepimpinan, selain bersedia membetulkan kelemahan sendiri.

Mengulas penyertaan pelajar antarabangsa pada persidangan itu, beliau berkata Malaysia mahu memastikan pelajar dari luar negara berasa selesa sepanjang tempoh pengajian dan menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.

Beliau berharap pertemuan tersebut dapat memperkukuh persefahaman antara golongan muda pelbagai negara serta membina kerjasama yang bermanfaat untuk masa depan.