RENCANA│ Isu Lighad : Fahami konteks sebelum mempersenda kalam al-Quran
FAIRUL AL-QASAS
Ada kalanya, seseorang terlalu cepat mengeluarkan kenyataan hanya berdasarkan tajuk berita, tanpa mengambil masa untuk memahami konteks sebenar sesuatu ucapan. Akhirnya, perkataan yang mempunyai maksud tersendiri dijadikan bahan sindiran, sedangkan mesej yang ingin disampaikan jauh lebih besar daripada sekadar satu istilah.
Dalam isu lighad yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027, saya berpendapat penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, sudah memadai. Namun, masih ada pihak yang mempersendakan istilah itu tanpa meneliti maksud dan konteks penggunaannya.
Justeru, saya ingin menjelaskan perkara ini supaya kita tidak terperangkap dalam polemik yang boleh dielakkan sekiranya kita membaca, memahami dan merujuk sumber yang betul.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Anwar membacakan ayat ke-18 Surah al-Hasyr yang mengingatkan orang beriman supaya bertakwa kepada Allah SWT dan memperhatikan persediaan untuk hari esok.
Anwar turut menjelaskan maksud lighad dalam konteks perancangan masa depan:
“Ungkapan lighad, yakni merujuk kepada hari esok, membawa suatu tuntutan yang besar dan mendalam. Malah, kita dituntut memikir serta menghamparkan asas-asas yang kukuh untuk masa hadapan, yakni mencerakinkan asas-asasnya itu, apakah peluang yang sedang kita buka atau luaskan, dan apakah warisan yang bakal kita wariskan kepada generasi akan datang.”
Dalam konteks belanjawan, mesejnya ialah pembangunan negara memerlukan perancangan teliti demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang. Pada masa sama, ayat al-Quran itu turut membawa peringatan tentang persediaan menghadapi akhirat.
Kedua-dua konteks ini perlu difahami dengan cermat, bukannya dipisahkan daripada maksud ayat yang dibacakan.
Jangan berhenti pada tajuk berita
Penggunaan istilah yang jarang didengar dalam ucapan Anwar bukan perkara baharu. Namun, adakah ketidakbiasaan kita terhadap sesuatu perkataan menjadi alasan untuk mempersendakannya?
Kita tidak semestinya perlu bersetuju dengan setiap kenyataan pemimpin. Kritikan terhadap dasar kerajaan juga sebahagian daripada amalan demokrasi. Tetapi kritikan yang baik perlu berasaskan fakta, konteks dan hujah yang munasabah.
Jika tidak memahami sesuatu istilah, rujuklah kamus, sumber berautoriti atau penjelasan pihak yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Lebih-lebih lagi apabila perkataan itu berasal daripada ayat al-Quran, kita perlu berhati-hati sebelum membuat kesimpulan.
Dalam hadis yang diriwayatkan Jarir RA, Rasulullah SAW pernah didatangi sekumpulan orang yang hidup dalam kesusahan. Baginda kemudian menyampaikan khutbah dengan membacakan ayat daripada Surah an-Nisa’ dan Surah al-Hasyr, termasuk ayat 18 yang mengingatkan umat Islam supaya mempersiapkan bekalan untuk hari esok.
Peristiwa itu turut memperlihatkan kepentingan membantu golongan yang memerlukan, dengan amalan kebajikan menjadi sebahagian daripada bekalan amal untuk akhirat.
Justeru, istilah lighad dalam konteks ayat berkenaan tidak wajar dipersendakan hanya berdasarkan persamaan bunyi dengan perkataan lain. Maksud sesuatu ungkapan perlu diteliti berdasarkan konteks ayat dan penjelasan yang berkaitan.
Jika tidak mengetahui sesuatu perkara, bertanyalah dan rujuk sumber yang betul. Menuntut ilmu jauh lebih baik daripada terburu-buru membuat kesimpulan.
Dalam Surah an-Nisa’, ayat 140, Allah SWT mengingatkan orang beriman supaya tidak terus berada bersama pihak yang memperolok-olokkan ayat-ayat-Nya ketika perkara itu diperkatakan.
Peringatan ini menuntut kita mengambil serius soal adab terhadap ayat Allah. Namun, kita juga perlu berlaku adil dengan memahami konteks sebenar sebelum menilai sesuatu tindakan atau menghukum niat seseorang.
Bagi saya, isu lighad sepatutnya menjadi ruang untuk memahami bahasa al-Quran dengan lebih mendalam, bukannya sekadar medan pertengkaran politik.
Jika mahu mengkritik Anwar atau Belanjawan 2027, kritikan boleh ditumpukan pada dasar, peruntukan dan kesan pelaksanaannya. Tetapi apabila istilah daripada ayat al-Quran dibangkitkan, kita bertanggungjawab meneliti konteksnya terlebih dahulu.
Jangan mudah terpengaruh dengan tajuk, jangan terburu-buru membuat kesimpulan dan jangan menjadikan perkara yang belum difahami sebagai bahan ejekan.
Ilmu perlu dicari, kebenaran perlu diteliti dan perbezaan pendapat perlu ditangani dengan adab.
Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk, melapangkan hati untuk menerima ilmu dan memelihara kita daripada perkataan serta perbuatan yang tidak sepatutnya.
BACA JUGA Hanya MB sahaja tadbir Negeri Sembilan, jangan salahkan DAP! – Loke