Laporan menyebut Tuanku Muhriz dijemput ke Majlis Raja-Raja?
Ketika kemelut takhta Negeri Sembilan belum menemui penyelesaian, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilaporkan dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bermula esok, perkembangan yang kembali memberi tumpuan kepada kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu.
Menurut laporan Straits Times Singapore, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang dijadual mempengerusikan mesyuarat berkenaan hingga 15 Oktober, telah menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.
Perkembangan itu berlaku ketika krisis institusi diraja Negeri Sembilan berlarutan sejak April lalu, susulan tindakan empat Undang yang kedudukan mereka dipertikaikan mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut Tuanku Muhriz dijangka menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja esok, yang tidak disertai Yang di-Pertuan Agong kerana perbincangan berkenaan melibatkan kepentingan negeri masing-masing.
Dalam masa sama, sepupu baginda, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, dilaporkan beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan ke mesyuarat itu, termasuk melalui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim.
Tunku Nadzaruddin sebelum ini diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu oleh empat Und berkenaan dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka pada Jun lalu.
Krisis itu semakin meruncing pada September apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pimpinan Ismail mengeluarkan kenyataan mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz, walaupun Ismail pada awalnya menolak pengisytiharan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dilaporkan menegaskan kenyataan berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang, manakala Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
Susulan perkembangan itu, pelantikan barisan Exco yang terbabit dibatalkan. Pentadbiran Ismail pula diteruskan tanpa pelantikan pengganti bagi mengisi kekosongan berkenaan setakat ini.
Satu lagi perkembangan penting dijadual berlaku pada Rabu ini apabila Tuanku Muhriz dijangka menyempurnakan pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu.
Menurut sumber yang dipetik Straits Times Singapore, pelantikan itu berpotensi memberikan baginda “majoriti jelas” dalam DKU, badan yang memainkan peranan penting dalam urusan adat dan institusi diraja Negeri Sembilan.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan perkembangan pelantikan Undang Luak Jelebu kini menjadi perhatian ketika pertikaian mengenai kedudukan pemerintah Negeri Sembilan masih berlarutan.
Namun, jemputan menghadiri mesyuarat itu tidak dengan sendirinya menyelesaikan keseluruhan pertikaian. Persoalan mengenai kesahan pengisytiharan dan proses adat yang menjadi punca krisis masih perlu dinilai berdasarkan kedudukan serta keputusan pihak berkuasa yang berkenaan.
BACA JUGA Belanjawan 2027: RM5 bilion untuk internet luar bandar, RM1 bilion kesihatan digital