Belia KL mahu peluang pekerjaan, rumah sewa mampu milik dan kemudahan awam lebih baik – Hannah Yeoh

FOTO BERITA: Sesi Townhall bersama Belia KL oleh YB Hannah Yeoh, Menteri diJabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud (Datuk Bandar Kuala Lumpur) di Auditorium Bandaraya Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. 12hb Oktober 2026 (Isnin)

Peluang pekerjaan, kos sewa rumah yang tinggi dan akses kepada kemudahan awam mesra orang kurang upaya (OKU) antara isu utama dibangkitkan golongan belia dalam Sesi Townhall Bersama Belia KL yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan golongan muda mahukan penyelesaian praktikal terhadap cabaran kehidupan di ibu negara, khususnya berkaitan pekerjaan dan perumahan.

Menurutnya, sesi berkenaan merupakan townhall ketiga yang dianjurkan bagi mendapatkan pandangan masyarakat mengenai penambahbaikan Kuala Lumpur.

“Banyak yang saya lihat daripada maklum balas mereka adalah mengenai pekerjaan. Mereka mahukan pekerjaan terlebih dahulu, selain membangkitkan isu sewa rumah terlalu mahal di Kuala Lumpur dan akses kepada infrastruktur OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi townhall berkenaan yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.

Hannah menjelaskan, isu yang berada dalam bidang kuasa Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diberikan perhatian, manakala perkara melibatkan kementerian lain akan dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan.

Antaranya termasuk isu pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perkara berkaitan pendidikan.

Beliau turut menyentuh masalah lumba motosikal haram di Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai isu sosial memerlukan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, polis sedang menjalankan operasi penguatkuasaan dan bekerjasama dalam usaha meningkatkan kesedaran di sekolah memandangkan ramai yang terlibat merupakan pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah berkata, cadangan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer di Kuala Lumpur menerima maklum balas positif daripada masyarakat.

Katanya, kemudahan itu penting bagi menggalakkan penduduk berjalan kaki tanpa terdedah kepada panas dan hujan, sekali gus meningkatkan hubungan antara lokasi di sekitar bandar raya.

“Ramai yang mahu berjalan kaki, tetapi mereka perlukan laluan berbumbung supaya tidak terkena panas dan hujan. Datuk Bandar sedang meneliti cara paling pantas untuk melaksanakannya secara lebih meluas,” katanya.

Mengenai usaha memperluas kawasan hijau, beliau berkata, DBKL sedang mempercepat pewartaan kawasan hijau sedia ada yang masih belum diwartakan bagi memastikan kawasan berkenaan dilindungi daripada pencerobohan dan aktiviti komersial tidak dibenarkan.

Selain itu, kerajaan turut meneliti penggunaan kawasan rizab milik agensi lain, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk dijadikan ruang rekreasi dengan penyediaan lampu dan laluan pejalan kaki.

Hannah berkata, pemaju yang menyediakan lebih banyak padang dan kawasan hijau menerusi skim pembangunan semula juga boleh diberikan insentif tertentu oleh DBKL.

Mengulas Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu, beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Kewangan sedang memperincikan peruntukan yang diluluskan serta projek yang boleh dilaksanakan menggunakan dana sedia ada DBKL.

Katanya, pengumuman lanjut akan dibuat selepas penelitian itu dimuktamadkan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan dan kemampuan kewangan.

Beliau menegaskan, pandangan belia yang dikumpulkan akan diteliti mengikut bidang kuasa agensi berkaitan supaya isu yang dibangkitkan tidak sekadar berakhir dalam sesi dialog, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada warga Kuala Lumpur.