Tidak perlu surat jemputan untuk hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja – Istana N9

Istana Negeri Sembilan hari ini menjelaskan beberapa laporan media bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah menerima jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Dalam satu siaran rasmi istana, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali menegaskan bahawa Tuanku Muhriz tidak memerlukan surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Beliau turut memaklumkan Tuanku Muhriz tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Sultan Perak, untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja (Pre-Council Meeting).

“…Istana Negeri Sembilan ingin menjelaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan,” menurut kenyataan itu.

Berhubung mesyuarat itu, baginda memilih untuk tidak berangkat bagi memberikan tumpuan kepada urusan negeri, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.

“Namun demikian, Ke Bawah Duli Tuanku telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri di Negeri Sembilan, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu,” katanya.

Istana Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan pihak istana berhubung perkara itu sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media.