Langgar injunksi fitnah SKMM, mahkamah dengar permohonan komital terhadap Papagomo 23 Dis
Mahkamah Tinggi akan mendengar terlebih dahulu permohonan komital difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo sebelum meneruskan pendengaran permohonan injunksi inter-parte (dua pihak).
Peguam SKMM Datuk Selva Mookiah yang mengesahkan perkara itu berkata Hakim Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan bantahan awal suruhanjaya itu agar permohonan komital didengar terlebih dahulu.
Ia memandangkan Wan Muhammad Azri perlu menyelesaikan isu penghinaan mahkamah terlebih dahulu sebelum pendengaran permohonan injunksi inter-parte diteruskan.
Beliau berkata mahkamah menetapkan 23 Dis ini untuk mendengar kedua-dua permohonan tersebut.
“Mahkamah turut melanjutkan tempoh injunksi interim sedia ada terhadap Wan Muhammad Azri hingga 23 Dis.
“Pendengaran permohonan komital akan menentukan dakwaan penghinaan terhadap mahkamah manakala permohonan injunksi inter-parte akan didengar dengan kehadiran kedua-dua pihak,” katanya.
Pada 19 Jun lepas, mahkamah membenarkan injunksi interim ex-parte (sebelah pihak) yang dimohon SKMM bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan sebarang pernyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya berkenaan serta menghentikan serta-merta penerbitan dan penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian melalui media sosial.
Selain itu, Wan Muhammad Azri tidak boleh menggunakan mana-mana platform media sosial untuk menyebarkan kandungan palsu, mengelirukan atau memudaratkan sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu.
Pada 6 Ogos lepas, Wan Muhammad Azri didakwa melanggar perintah injunksi interim bertarikh 6 Julai apabila menggunakan platform media sosial Facebook dan/atau YouTube untuk menyiarkan atau menyebabkan penyiaran siaran langsung mengandungi kandungan dalam talian palsu, mengelirukan dan/atau memudaratkan.
Sehubungan dengan itu, SKMM memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadapnya berhubung dakwaan menghina mahkamah.
Pada 6 Okt, mahkamah membenarkan SKMM memulakan prosiding komital terhadap Wan Muhammad Azri berhubung dakwaan pelanggaran perintah injunksi menerusi satu sesi siaran langsung yang disiarkan di Facebook dan/atau YouTube pada 6 Ogos itu.
Pada 27 Mei lepas, SKMM memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri dengan mendakwa defendan menerusi akaun media sosialnya mengeluarkan kenyataan fitnah kononnya suruhanjaya itu menyekat laporan mahkamahnya yang melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, SKMM memaklumkan pihaknya tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk penapisan dalam penerbitan berhubung kes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara Fahmi dan defendan.
SKMM menegaskan kenyataan defendan tidak benar dan tidak berasas selain menjejaskan keyakinan awam terhadap suruhanjaya berkenaan.