Tiada pertikaian, gaji minimum RM2,000 dipersetujui Majlis Perundingan Gaji Negara
Tiada pertikaian dibangkitkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara berhubung Penetapan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, kadar gaji baharu itu telah dibentang dan diluluskan majlis berkenaan yang dianggotai wakil kesatuan pekerja dan majikan
“Di peringkat majlis itu, terdapat wakil bukan sahaja daripada kesatuan pekerja, tetapi juga daripada majikan. Tahap RM2,000 itu tidak dipertikaikan dan telah dipersetujui.
“Hanya dalam pertimbangan di peringkat Jemaah Menteri, pertimbangan telah diberikan untuk memberi tempoh masa yang lebih panjang sedikit untuk PMKS supaya mereka mungkin akan laksanakan kemudian.
“Kita mulakan dengan syarikat besar dulu sebab kita juga memahami syarikat PMKS juga antara yang terkesan daripada konflik di Asia Barat dan mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat penyesuaian model perniagaan masing-masing,” katanya memetik BH.
Johan berkata, cabaran kos sara hidup isi rumah bukan hanya berkaitan kadar inflasi, sebaliknya turut berpunca daripada pendapatan yang tidak meningkat seiring dengan kenaikan kos sara hidup.
Sehubungan itu, katanya, usaha meningkatkan pendapatan rakyat menjadi agenda penting kerajaan, dengan pelaksanaan gaji minimum sebagai antara pendekatan untuk mencapai matlamat berkenaan.
Beliau berkata, kadar gaji minimum RM2,000 akan berkuat kuasa pada Jun 2027, dengan pelaksanaan dimulakan oleh syarikat besar sebelum PMKS diberikan ruang untuk membuat penyesuaian.
Menurutnya, syarikat besar diharap menyemak struktur gaji secara menyeluruh dan bukan hanya menaikkan gaji pekerja pada peringkat terendah bagi mengelakkan keadaan pemampatan gaji iaitu apabila gaji pekerja bergaji rendah meningkat tetapi gaji kumpulan pekerja lain tidak diselaraskan.
Katanya, semakan itu juga perlu mengambil kira gaji permulaan bagi graduan dan pemegang diploma, selain penanda aras gaji wajar sebanyak RM3,400 yang ditetapkan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai rujukan kepada sektor swasta.