Masuk Malaysia selepas 2023? Jangan harap dapat dokumen pelarian 

Pelarian yang memasuki Malaysia selepas Januari 2023 tidak akan dipertimbangkan untuk menerima Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), bagi mengelakkan mekanisme itu menjadi tarikan kepada kemasukan warga asing baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan menetapkan tarikh akhir itu supaya proses pendaftaran hanya melibatkan pelarian sedia ada yang berada di negara ini sebelum atau sehingga Januari 2023.

“Pelarian yang masuk selepas itu (selepas Januari 2023), mereka tidak akan diberikan peluang untuk kita pertimbangkan di bawah DPP.

“Kita proses yang sedia ada… tidak akan jadi faktor penarik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai langkah kerajaan menghalang sindiket daripada mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan DPP dengan mewujudkan pendaftaran baharu bagi kemasukan pelarian.

Saifuddin berkata langkah itu juga membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan kepada usaha melengkapkan profil dan pangkalan data kira-kira 225,000 pelarian yang dilaporkan berada di Malaysia oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, angka UNHCR itu merupakan anggaran yang belum dilengkapi maklumat terperinci seperti nama, umur, lokasi keberadaan dan profil keselamatan setiap individu.

Menerusi DPP, KDN melaksanakan proses pendataan menyeluruh yang merangkumi pendaftaran maklumat peribadi, saringan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen serta pengambilan data biometrik.

Bagi tahun ini, kerajaan menyasarkan pendaftaran kira-kira 4,000 pelarian di depoh tahanan imigresen untuk fasa pertama DPP yang bermula Januari, selain 2,000 pelarian di luar depoh.

Sasaran itu akan ditingkatkan kepada 20,000 orang pada tahun hadapan.

Saifuddin berkata proses berkenaan turut memanfaatkan kira-kira 30,000 rekod pelarian yang sudah lengkap dengan nama serta maklumat majikan, hasil pelaksanaan fasa awal sebelum ini.

“Sekarang kami perluaskan lagi untuk memastikan data kita itu boleh dipercayai. Data yang boleh dipercayai membantu kita untuk menggubal satu dasar awam yang lebih nyata, boleh diukur, boleh disukat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kemungkinan pelarian yang berdaftar di bawah DPP dibenarkan bekerja, Saifuddin berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan memanfaatkan mereka yang berdaftar dan melepasi saringan keselamatan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja.

BACA JUGA Pelajar Tingkatan Enam dapat RM2,500: Beban keluarga diringankan, impian sambung belajar diperkukuh