Orang kanan PMX masuk gelanggang Melaka! Azman Abidin sah sedia tanding Paya Rumput

Selepas menjadi antara individu yang membantu mengurus urusan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Politiknya, Azman Abidin, kini mengesahkan kesediaan bertanding di kerusi DUN Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Azman yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata beliau bersedia menerima amanah parti untuk mewakili Pakatan Harapan (PH), termasuk jika diarahkan bertanding di kerusi berkenaan.

“Ya, setakat ini, insya-Allah saya akan bertanding di Paya Rumput.

“Kalau itu amanah parti, saya menerima apa saja keputusan parti. Kalau disuruh bertanding di Melaka, saya akan bertanding,” katanya.

Memetik laporan Free Malaysia Today(FMT) pengesahan itu sekali gus meredakan spekulasi mengenai kemungkinan Azman menyertai persaingan dalam PRN Melaka, dengan tumpuan kini beralih kepada usaha PH merampas kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN).

Pada PRN 2021, calon BN, Rais Yasin, memenangi DUN Paya Rumput dengan majoriti 629 undi selepas menewaskan empat calon lain, termasuk bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang bertanding atas tiket PH, selain calon Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian dijadualkan berlangsung pada 14 November ini bagi PRN Melaka ke-16.

Seramai 687,697 pengundi layak mengundi berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga 22 September lalu.

Kesediaan Azman bertanding di Paya Rumput bakal menjadi antara perkembangan yang diperhatikan ketika parti-parti politik menyusun calon dan strategi untuk merebut mandat pengundi Melaka.

Bagaimanapun, pencalonan rasmi masih tertakluk kepada keputusan PKR dan PH sebelum proses penamaan calon berlangsung.

BACA JUGA Masuk Malaysia selepas 2023? Jangan harap dapat dokumen pelarian