Jururawat ditikam suami : Dr Hafidzah gesa keadilan buat jururawat

Keganasan rumah tangga tidak boleh dianggap urusan peribadi suami isteri, sebaliknya perlu ditangani dengan serius sebelum ancaman terhadap mangsa berakhir dengan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.

Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, berkata mangsa keganasan bukan sahaja memerlukan rawatan terhadap kecederaan fizikal, malah sokongan psikologi bagi membantu mereka pulih daripada trauma dan membina semula keyakinan diri.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi seorang jururawat yang menjadi mangsa keganasan apabila ditikam oleh suaminya sendiri. Menurutnya, keadaan mangsa kini stabil, walaupun masih lemah dan menanggung kesakitan akibat kecederaan dialami.

“Luka pada tubuh mungkin boleh dijahit, dirawat dan akhirnya sembuh. Tetapi bagaimana dengan luka di hati? Ketakutan, trauma dan hilangnya rasa selamat selepas mengalami keganasan sedemikian?” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hafidzah berkata keadaan mangsa yang sebelum ini bertugas merawat pesakit, tetapi kini terlantar di hospital akibat perbuatan orang yang sepatutnya melindunginya, amat menyentuh hati.

Justeru, beliau meminta doktor yang merawat mangsa memastikan rawatan terbaik diberikan, termasuk rujukan kepada pakar berkaitan untuk rawatan trauma, sokongan psikologi dan pemulihan kesihatan mental.

Menurutnya, matlamat rawatan bukan sekadar memastikan kecederaan fizikal sembuh, tetapi membantu mangsa mendapatkan semula kekuatan, keyakinan dan rasa selamat untuk meneruskan kehidupan.

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober, beliau turut menggesa keluarga, rakan sekerja dan masyarakat memberikan sokongan berterusan kepada mangsa, tanpa menyalahkan atau memaksa mereka melupakan kejadian sebelum benar-benar bersedia.

“Jangan biarkan mangsa berasa keseorangan. Jangan menyalahkan mangsa. Dan jangan memaksa mangsa melupakan apa yang berlaku sebelum beliau benar-benar bersedia,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Hafidzah menegaskan pelaku keganasan perlu dipertanggungjawabkan atas perbuatannya, dengan hukuman setimpal dikenakan mengikut undang-undang sekiranya disabitkan kesalahan.

Beliau berkata tindakan tegas bukan sahaja penting untuk memberikan keadilan kepada mangsa, malah menjadi pengajaran dan usaha mencegah kejadian sama daripada berulang.

“Kepada masyarakat, apabila seorang wanita mengadu diugut atau didera, dengarlah. Percayalah bahawa ancaman itu perlu diambil serius. Bantulah beliau mendapatkan perlindungan sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar jururawat berkenaan dikurniakan kesembuhan, ketenangan dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang, sambil menyeru masyarakat supaya bukan sekadar bersimpati selepas tragedi berlaku, tetapi berani membantu dan mencegah keganasan sebelum terlambat.

BACA JUGA Orang kanan PMX masuk gelanggang Melaka! Azman Abidin sah sedia tanding Paya Rumput