Lelaki tular sertai ritual Thaipusam bukan ahli PKR, tegas PKR Bandar Tun Razak
PKR Cabang Bandar Tun Razak menegaskan lelaki yang tular susulan dakwaan menyertai ritual keagamaan Hindu ketika sambutan Thaipusam bukan ahli parti itu.
Ketua Penerangan PKR Cabang Bandar Tun Razak, Akhmar Sari Mohd Nazri berkata, gambar lelaki berkenaan bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta tindakannya memegang bendera Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak membuktikan bahawa dia mewakili parti.
“Berdasarkan semakan kami, individu berkenaan bukan ahli PKR dan bukan penduduk Bandar Tun Razak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.
“Gambar beliau bersama Dr. Wan Azizah serta tindakannya memegang bendera Pakatan Harapan tidak menjadikannya wakil parti.
“Kehadirannya sebagai penyokong tidak bermakna PKR menyokong perbuatan peribadinya,” katanya.
Beliau pada masa sama mengecam perbuatan dilakukan individu berkenaan kerana bercanggah dengan pegangan Islam.
Parti itu turut menegaskan bahawa ia tidak pernah menyokong tindakan berkenaan, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak mengaitkan parti dengan perbuatan individu yang tidak mewakilinya.
“PKR Cabang Bandar Tun Razak mengecam perbuatan yang dikaitkan dengan individu dalam gambar yang tular berkaitan ritual Thaipusam.
“Perbuatan itu jelas bercanggah dengan pegangan Islam. PKR Bandar Tun Razak tidak pernah menyokong tindakan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat kesimpulan sebelum fakta sebenar disahkan.
“Jangan gunakan sekeping gambar untuk mengaitkan parti dengan tindakan individu yang tidak mewakili pendirian PKR.
“Siasatan hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa, dan orang ramai diminta tidak membuat kesimpulan sebelum fakta disahkan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, seorang lelaki Melayu berusia 21 tahun menjadi perhatian selepas beberapa gambar dan video yang tular di media sosial memaparkan dirinya menyertai ritual keagamaan Hindu, termasuk ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves.
Pada 13 Oktober, media melaporkan lelaki berkenaan, yang dikenali sebagai Aliff Daniel, bersama ibunya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit dalam ritual bukan Islam. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.