Masa saya susah, pemandu teksi bantu! Takkan jadi PM saya lupakan mereka – Anwar

Pernah menghantar makanan dan minuman kepada penyokong ketika beliau berdepan tekanan politik, malah ada yang enggan menerima bayaran tambang, golongan pemandu teksi menjadi antara kelompok yang tidak dilupakan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Mengimbau sokongan yang diterimanya ketika gerakan Reformasi pada 1998, Anwar berkata bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bukan sekadar soal peruntukan, tetapi juga tanda penghargaan kepada golongan yang pernah bersamanya ketika melalui detik sukar.

“Bila saya ditangkap, penyokong saya yang paling tegar adalah pemandu teksi. Saya tabik, terima kasih banyak. Masa saya susah, kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya!

“Takkan bila sudah jadi Perdana Menteri, Loke (Anthony) cadang bagi RM1,000 saya nak kata tak boleh?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa (BKKT) di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Keprihatinan

Pada majlis itu, kerajaan menyampaikan bantuan sekali bayar RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Bantuan itu dijangka memanfaatkan kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Anwar mengumumkan bantuan berkenaan susulan hasil jualan siri nombor pendaftaran khas H oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang mengutip RM91.2 juta melalui lelongan dalam talian dari 16 hingga 20 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.

Namun, bagi Anwar, kisah di sebalik bantuan itu turut mengingatkannya kepada nilai kesetiaan dan keprihatinan yang pernah ditunjukkan pemandu teksi ketika beliau berada dalam kesusahan.

Beliau berkongsi bagaimana pemandu teksi sanggup menghantar makanan dan minuman secara percuma kepada penyokong yang berhimpun di kediamannya suatu ketika dahulu.

“Siapa yang bawa? Teksi. Siapa bayar? Tak bayar. Teksi hantar kuih, air bagi orang makan,” katanya.

Anwar turut mengimbau kisah seorang warga emas dari Nilai, Negeri Sembilan, yang pernah dibantunya membaiki rumah sebelum beliau dipenjarakan.

Lelaki itu, katanya, menjual telur masin dan menggunakan khidmat teksi untuk menghantar hasil jualannya kepada keluarga sebagai tanda penghargaan. 

Bagaimanapun, pemandu teksi berkenaan enggan menerima bayaran selepas mengetahui kisah di sebalik penghantaran itu.

Bagi golongan pemandu yang berdepan tekanan kos sara hidup dan pendapatan tidak menentu, bantuan sekali bayar itu diharap dapat meringankan beban mereka.

Kisah yang dikongsikan Anwar turut mengangkat sisi hubungan antara pemimpin dan rakyat biasa, apabila bantuan serta kesetiaan yang ditunjukkan ketika susah terus dikenang selepas bertahun-tahun berlalu.

BACA JUGA Dari flotila ke layar TV! Fahmi sedia bantu terbit mini siri Sumud