Ditanya pasal 1MDB, KJ tegas tiada kompromi soal integriti
“Apa yang kamu tidak boleh pertahankan, jangan pertahankan.”
Itu mesej Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika menjawab persoalan seorang anak muda mengenai rasuah, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan budaya mempertahankan pemimpin politik secara membuta tuli.
Khairy berkata masyarakat tidak sepatutnya takut membincangkan isu rasuah, termasuk apabila ia membabitkan pemimpin berkuasa.
“Apa yang salah tetap salah. Jangan menegakkan benang yang basah,” katanya dalam sesi berkenaan.
Beliau yang juga anggota Umno menegaskan salah urus perlu dijawab dan integriti tidak boleh dikompromi, walaupun isu berkenaan melibatkan parti sendiri.
Kenyataan itu hadir ketika kepimpinan Umno terus memperjuangkan nasib bekas perdana menteri, Najib Razak, termasuk usaha mendapatkan pengampunan penuh serta mengumpul dana RM50 juta bagi membantunya membayar denda yang dikaitkan dengan syarat tahanan rumah.
Umno sebelum ini melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu memenuhi keperluan kewangan berkenaan.
Dalam sesi soal jawab itu, peserta turut meminta pandangan panel mengenai cara anak muda menentang rasuah dan budaya feudal dengan menggunakan fakta serta data statistik.
Mesej Khairy menekankan bahawa kesetiaan kepada parti tidak sepatutnya mengatasi prinsip integriti dan akauntabiliti.
Bagi generasi muda, katanya, isu rasuah perlu dibincangkan secara terbuka, manakala sebarang kesalahan atau salah urus perlu dijawab tanpa mengira kedudukan dan pengaruh seseorang pemimpin.
BACA JUGA Masa saya susah, pemandu teksi bantu! Takkan jadi PM saya lupakan mereka – Anwar