Peniaga dapat modal, belia dibekal kemahiran, sekolah Tamil diberi perhatian
Peruntukan meningkat, peluang perniagaan diperluas dan latihan kemahiran diperkukuh antara tumpuan Belanjawan 2027 yang disifatkan membuka ruang baharu kepada masyarakat India untuk meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan lebih terjamin.
Timbalan Pengarah Komunikasi PKR, Jonathan Vela, berkata peningkatan peruntukan berkaitan masyarakat India kepada RM350 juta berbanding RM220 juta pada 2026, iaitu kenaikan sekitar 59 peratus, meliputi pembangunan sosioekonomi, pembiayaan perniagaan, pendidikan dan kemudahan rumah ibadat.
Menurutnya, langkah itu berpotensi memberikan manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah, pengusaha kecil dan golongan belia yang memerlukan akses lebih luas kepada pendidikan, kemahiran serta peluang ekonomi.
“Inisiatif ini berpotensi memperkukuh masyarakat India sebagai komuniti yang lebih berkemahiran, berdaya saing dan berdaya usaha, dengan kemampuan lebih besar untuk meningkatkan pendapatan serta membina kestabilan ekonomi antara generasi.
“Tumpuan pelaksanaan mesti memastikan peluang ini sampai kepada golongan yang memerlukan dan menghasilkan perubahan yang dapat dirasai dalam kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara peningkatan utama ialah peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang naik 50 peratus kepada RM150 juta berbanding RM100 juta sebelum ini.
Jonathan berkata tambahan peruntukan itu boleh memperkukuh pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi, termasuk latihan kemahiran yang membantu masyarakat meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata tumpuan terhadap bidang teknikal, teknologi dan penyelenggaraan pesawat berpotensi membuka laluan kepada belia India untuk memperoleh kemahiran khusus serta merebut peluang pekerjaan dengan prospek pendapatan lebih baik.
Selain latihan kemahiran, pembiayaan RM150 juta melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut disediakan bagi menyokong pengusaha kecil masyarakat India mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menurut Jonathan, akses kepada pembiayaan itu boleh membantu usahawan menambah modal, memperluas operasi dan meningkatkan keupayaan perniagaan, sekali gus membuka peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekonomi keluarga.
Dalam sektor pendidikan pula, peruntukan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dengan tumpuan kepada prasarana sekolah daif, dilihat penting bagi memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau berkata kemudahan sekolah yang lebih baik merupakan antara asas penting untuk membantu generasi muda membina peluang masa depan melalui pendidikan berkualiti.
Pada masa sama, peruntukan RM80 juta bagi penyelenggaraan dan pengubahsuaian rumah ibadat berdaftar turut mencerminkan perhatian terhadap keperluan komuniti beragama dalam masyarakat majmuk.
Jonathan berkata keseluruhan langkah itu perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan supaya manfaat belanjawan tidak sekadar tercatat sebagai angka peruntukan, sebaliknya benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.
“Melalui Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI memperkukuh landasan untuk masyarakat India maju bersama negara dengan pendidikan yang lebih baik, perniagaan yang lebih kukuh dan peluang kerjaya yang lebih luas,” katanya.