Wakil mahasiswa tanya terus depan KJ, Onn Hafiz soal korupsi 1MDB…‘stupidest thing I’ve watched’

Video seorang wakil mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang mengajukan soalan secara terus kepada dua pemimpin Umno berhubung isu korupsi 1MDB membabitkan pemimpin mereka sendiri tular di media sosial.

Menerusi forum yang menampilkan Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai panel, mahasiswa yang dikenali sebagai Umairah membangkitkan beberapa isu korupsi termasuk isu derma kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dia tidak memahami bagaimana masih ada pihak yang sanggup menderma kepada Najib biarpun bekas Perdana Menteri itu sudah jelas terpalit dengan kes rasuah terbesar dunia, 1MDB.

“And the stupidest thing I have watched is people donating to Najib Razak. Someone who clearly has a worldwide corruption case 1MDB and it is clearly linked to corruption,” katanya.

Dia turut menyebut mengenai dakwaan anak tokoh politik menerima RM4 juta tanpa bekerja serta skandal Tabung Haji yang melibatkan individu politik.

Selain itu, mahasiswa berkenaan mengajukan soalan dengan meminta pandangan kedua-dua pemimpin Umno berkenaan bagaimana anak muda perlu berani bersuara menentang korupsi berdasarkan fakta dan data.

Menjawab soalan tersebut, Khairy menegaskan semua pihak tidak seharusnya takut membicarakan soal korupsi walaupun melibatkan pemimpin sendiri.

“What is wrong is wrong. What you cannot defend, don’t defend. I say this as somebody who is a member of Umno,” katanya.

Onn Hafiz pula menyifatkan rasuah sebagai kanser kepada kemajuan negara dan isu tersebut telah lama menjadi punca kepada perubahan kerajaan.

Video itu kini tular dengan rata-rata netizen memuji keberanian mahasiswa berkenaan mengutarakan soalan secara berdepan kepada pemimpin Umno.