Fadhlina jelaskan mengapa sekolah hanya ditutup apabila IPU melebihi 200

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 sebagai ambang penutupan sekolah susulan pelbagai persoalan dan pandangan ibu bapa berhubung keputusan berkenaan.

Menurut Fadhlina, keputusan itu dibuat selepas KPM mendapatkan pandangan agensi berkaitan dan mengambil kira saranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya pengurusan jerebu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

“Sebab itu saya panggil semula agensi-agensi berkaitan untuk duduk semeja. Kita perlu melihat semula keputusan ini dengan mendapatkan pandangan mereka yang lebih arif.

“Dalam perbincangan itu, kita turut mengambil kira pandangan NADMA bahawa pengurusan jerebu negara perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

“Selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, KPM memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam PTJK,” katanya.

Fadhlina berkata, setiap tahap bacaan IPU mempunyai tindakan yang berbeza dan tidak semua tahap risiko memerlukan langkah yang sama.

Apabila bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan bagi mengurangkan pendedahan murid kepada jerebu, manakala sekolah ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.

“Dalam menguruskan jerebu, setiap tahap bacaan IPU ada tindakan yang perlu diambil. Kita tak boleh anggap semua tahap risiko memerlukan tindakan yang sama.

“Contohnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang. Langkah ini untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu, walaupun risiko kesihatan masih ada.

“Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta. PTJK ini pun bukan pelan yang baru dibuat. 

“Negara memang dah ada panduan untuk uruskan jerebu. Sebab itu penting untuk kita kembali kepada satu panduan yang sudah ditetapkan di peringkat kebangsaan,” jelasnya lagi.

Beliau mengakui kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak apabila bacaan IPU mencapai 150 adalah berasas memandangkan paras itu sudah dikategorikan sebagai tidak sihat.

Bagaimanapun, katanya, keputusan berkaitan pengoperasian sekolah perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk kesihatan murid dan keperluan memastikan pembelajaran mereka tidak terus terganggu.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurutnya, langkah itu mengambil kira keadaan kesihatan murid yang berbeza, termasuk mereka yang menghidap asma atau mempunyai masalah pernafasan.

“Sebab itu kita tambah satu lagi kelonggaran. Kalau ibu bapa rasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Cuma maklumkan kepada pihak sekolah,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan bahawa KPM akan terus mendengar kebimbangan orang ramai dan membuat keputusan dengan merujuk kepada agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.