Ekonomi Penjagaan Bukan Beban, Tetapi Pelaburan masa depan negara – Dzulkeely

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Selangor International Care Expo 2026 disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan. Turut hadir YB P it an Anfaal Saari Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di Hall 6, Level 1, Kuala Lumpur Convention Centre Kuala Lumpur. 15hb Oktober 2026 (Khamis)

Ekonomi penjagaan tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan kerajaan atau tanggungjawab keluarga semata-mata, sebaliknya sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sudah tiba masanya Malaysia mengubah pendekatan terhadap sektor penjagaan dengan meletakkan kesejahteraan manusia sebagai teras pembangunan ekonomi negara.

“Penjagaan bukan kos yang perlu dikurangkan, tetapi pelaburan yang perlu dipupuk dan dibangunkan,” katanya ketika merasmikan Selangor International Care Expo (SICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut beliau, ekonomi penjagaan merangkumi peranan doktor, jururawat, penjaga pesakit, petugas pemulihan, pengasuh kanak-kanak serta pekerja kesihatan komuniti yang menyumbang kepada produktiviti dan kemakmuran negara.

Katanya, sumbangan ahli keluarga khususnya wanita yang menjaga anak, warga emas dan pesakit tanpa menerima bayaran juga perlu diiktiraf kerana golongan itu memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat.

Dzulkefly berkata, Malaysia kini berdepan cabaran peningkatan populasi warga emas, penyakit tidak berjangkit serta penyakit kronik yang memerlukan sistem penjagaan kesihatan lebih menyeluruh dan bersepadu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan beralih daripada pendekatan merawat penyakit semata-mata kepada sistem yang memberi penekanan terhadap pencegahan awal, rawatan, pemulihan, penjagaan jangka panjang dan sokongan paliatif.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan ekonomi penjagaan mampu membuka peluang pekerjaan berkualiti, menggalakkan inovasi, meningkatkan penyertaan tenaga kerja dan mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu.

Dalam pada itu, Dzulkefly memuji usaha Kerajaan Selangor menganjurkan SICE 2026 yang disifatkan sebagai contoh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh sektor kesihatan serta kebajikan rakyat.

Beliau berharap Selangor bukan sahaja terus menjadi kuasa ekonomi utama negara, malah menerajui pembangunan ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan.

Ekspo bertemakan Experience Care itu berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Oktober 2026, bersempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2026.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, Puan Faridah Samad Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) YB Danial Al-Rashid ADUN Batu Tiga serta wakil agensi kerajaan, pemain industri dan delegasi antarabangsa.