Akta belum siap, Najib sudah dapat perintah tahanan rumah, Mahfuz persoal KDN
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mempersoalkan asas perundangan yang digunakan bagi melaksanakan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sedangkan Akta Tahanan Rumah sebelum ini dimaklumkan masih dalam proses penggubalan.
Menurut Mahfuz, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa akta berkenaan belum dimuktamadkan menimbulkan persoalan yang perlu dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara.
Beliau merujuk pengesahan peguam Najib pada 14 Oktober lalu bahawa anak guamnya telah menerima perintah tahanan rumah berserta syarat dan mekanisme pelaksanaannya, dengan kediaman di Langgak Duta ditetapkan sebagai lokasi tahanan.
“Persoalannya mudah: apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau kuasa sedia ada yang digunakan untuk melaksanakan tahanan rumah terhadap seorang pesalah yang telah disabitkan dan sedang menjalani hukuman penjara?” soalnya.
Mahfuz berkata, sekiranya Akta Tahanan Rumah masih belum berkuat kuasa, kerajaan perlu menjelaskan peruntukan undang-undang yang membolehkan perintah berkenaan dilaksanakan.
Tegasnya, perkara itu bukan sekadar melibatkan seorang bekas Perdana Menteri, sebaliknya menyentuh prinsip kedaulatan undang-undang yang mesti terpakai secara sama rata kepada semua rakyat.
Beliau turut menggunakan perumpamaan membina rumah tanpa pelan bagi menggambarkan keperluan kerajaan menjelaskan asas perundangan sebelum melaksanakan sesuatu keputusan penting.
“Jangan bina rumah tanpa pelan, kemudian apabila dipersoalkan, barulah mencari pelan untuk menerangkan bagaimana rumah itu dibina.
“Begitu juga dalam pelaksanaan kuasa negara, asas undang-undangnya mesti jelas dan boleh diterangkan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Mahfuz bagaimanapun menegaskan bahawa beliau menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, katanya, penghormatan terhadap kuasa berkenaan tidak bermakna kerajaan boleh mengelak daripada menjelaskan tatacara dan asas perundangan pelaksanaan sesuatu perintah.
“Saya menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Namun, rakyat berhak mengetahui asas perundangan pelaksanaannya.
“Jika semuanya mempunyai sandaran undang-undang yang jelas, jelaskan kepada rakyat. Kedaulatan undang-undang bukan sekadar prinsip yang kita lafazkan, tetapi prinsip yang mesti dipatuhi,” tegasnya.
Menariknya, Mahfuz turut menandatangani kenyataan media tersebut dengan menyatakan pengalamannya sebagai bekas banduan Penjara Kajang pada 8 Disember 2000, berserta nombor banduan 20043.
Kenyataan itu sekali gus memperlihatkan pendirian beliau bahawa pelaksanaan hukuman penjara, termasuk sebarang perubahan kepada kaedah tahanan, perlu mempunyai asas undang-undang yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai penerimaan perintah tahanan rumah oleh Najib tidak dengan sendirinya mengesahkan bahawa perintah tersebut telah mula dilaksanakan.
Status pelaksanaan dan asas undang-undangnya masih memerlukan penjelasan rasmi pihak berkuasa.
BACA JUGA IMF jangka KDNK Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2026 disokong pelaburan pusat data