Bukan sekadar tempat solat, kerajaan mahu masjid jadi nadi kehidupan rakyat

Kerajaan MADANI memperkasakan institusi masjid supaya bukan sekadar menjadi tempat menunaikan solat, sebaliknya berperanan sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat, menyuburkan ilmu dan membina kesejahteraan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu penting bagi memastikan institusi masjid terus relevan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat dan peradaban negara.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap pemerkasaan masjid, termasuk menerusi peruntukan khas dalam Belanjawan 2026 di bawah inisiatif Pemerkasaan Institusi Islam sebagai Teras Kesejahteraan Ummah.

“Inisiatif ini merangkumi penganjuran Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid 2026, serta usaha memperkasa masjid dan surau di Perumahan Penjawat Awam dan Perumahan Awam sebagai pusat komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Konvensyen Masjid Nusantara dan Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026/1448H anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam.

Program bertemakan Masjid Harmoni, Berakar Inovasi, Ummah Diberkati itu menghimpunkan lebih 1,200 peserta termasuk wakil dari Indonesia, Singapura dan Brunei.

Amalan terbaik

Zulkifli berkata, penganjuran konvensyen berkenaan menjadi platform penting untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan perpaduan ummah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peruntukan kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk menjadikan sesebuah masjid benar-benar berfungsi dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Peruntukan sahaja tidak mencukupi tetapi kita memerlukan juga kepimpinan masjid yang berwibawa, pengurusan yang profesional, program yang berimpak dan jaringan kerjasama yang kukuh,” katanya.

Sehubungan itu, usaha memperkasakan masjid perlu berjalan seiring dengan peningkatan mutu kepimpinan dan pengurusan supaya institusi berkenaan mampu memainkan peranan lebih luas dalam kehidupan masyarakat setempat.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli mengucapkan tahniah kepada Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Kota Bharu, Kelantan yang muncul juara keseluruhan Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 menerusi Anugerah Perdana.

Beliau turut meraikan kejayaan 14 masjid yang memenangi pelbagai kategori serta kesemua 28 masjid dari seluruh negara yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir anugerah berkenaan.

Zulkifli merakamkan penghargaan kepada JAKIM, agensi hal ehwal agama, pihak berkuasa agama negeri, rakan strategik, panel hakim serta seluruh imam, pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid yang menjayakan program tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi masjid perlu terus menjadi pemangkin peradaban dan ketamadunan, sekali gus memastikan syiar Islam terus subur dan berkembang di Malaysia.

BACA JUGA Mahasiswa UM kritik derma Najib sebagai ‘perkara bodoh’ didakwa ditekan, netizen bangkit pertahan