Singapura RM10.09, Thailand RM6.05 Malaysia RM1.99: Netizen puji subsidi petrol kerajaan Anwar
Perbandingan harga petrol antara Malaysia dengan beberapa negara jiran mencuri perhatian pengguna media sosial apabila petrol RON95 bersubsidi BUDI95 di negara ini dipaparkan pada harga RM1.99 seliter, jauh lebih rendah berbanding Singapura yang mencecah RM10.09 seliter.
Perbandingan itu berdasarkan satu paparan harga petrol dan diesel bagi 11 negara terpilih untuk tempoh 8 hingga 14 Oktober 2026 yang dikongsikan di media sosial.
Menurut jadual berkenaan, harga petrol di Singapura dicatatkan pada RM10.09 seliter, diikuti Laos RM7.89, Kemboja RM6.29, Myanmar dan Filipina masing-masing RM6.13 serta Thailand RM6.05.
Sementara itu, Vietnam mencatatkan harga RM4.40 seliter, Indonesia RM4.39, Arab Saudi RM2.54 dan Brunei RM1.70.
Bagi Malaysia, jadual tersebut membezakan harga pam RM4.67 seliter dengan harga BUDI95 RM1.99 seliter yang dinikmati pengguna layak menerusi mekanisme subsidi kerajaan.
Perbezaan harga berkenaan turut mengundang reaksi positif beberapa pengguna Threads yang menyifatkan bantuan subsidi petrol sebagai langkah penting untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Seorang pengguna dikenali sebagai amazingummi melahirkan rasa syukur terhadap kemudahan subsidi yang dinikmati rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah semoga kami jadi rakyat yang bersyukur,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, aidilnasir95, menyifatkan pelaksanaan kuota subsidi sebagai langkah yang bijak, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
“Kuota subsidi nie langkah palik bijak sekali. Imagine kalau takde kuota subsidi masa first wave perang asia barat. Rasanya kita takkan survive,” katanya.
Pengguna zaki_nickname pula merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas dasar yang menurutnya memberi manfaat kepada rakyat.
“Ya terima kasih izinkan PMX jadi PM hanya sepenggal untuk kami buat selamanya….terbaikla pmx,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, metallurgical, turut meninggalkan komen ringkas, “makbul doa tok guru nik aziz”.
Reaksi tersebut menunjukkan sebahagian pengguna media sosial menghargai pengekalan subsidi petrol ketika harga bahan api tanpa subsidi berada pada paras lebih tinggi.
Berdasarkan pengumuman harga bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober, RON95 tanpa subsidi meningkat 15 sen kepada RM4.67 seliter, namun harga BUDI95 kekal RM1.99 seliter.
Bagi tempoh terkini, 15 hingga 21 Oktober, Kementerian Kewangan turut mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter, manakala harga RON95 tanpa subsidi turun kepada RM4.62 seliter.
Walaupun perbandingan antarabangsa yang tular itu memperlihatkan perbezaan harga yang besar, angka berkenaan perlu dilihat dalam konteks jenis petrol, struktur cukai, kadar pertukaran mata wang dan subsidi setiap negara. Angka Singapura RM10.09 seliter dalam paparan tersebut belum disahkan secara bebas.
BACA JUGA Mahasiswa UM kritik derma Najib sebagai ‘perkara bodoh’ didakwa ditekan, netizen bangkit pertahan