‘Tidak ada orang sempurna’, Mufti Wilayah pertahan Ali Jumaah yang dikritik Saifuddin
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil mempertahankan kepakaran bekas Mufti Mesir, Ali Jumaah Muhammad Abdul Wahab, yang dikritik berhubung pelantikannya sebagai anggota Majlis Penasihat Pondok Malaysia.
Menurut beliau, tidak ada sebarang kesalahan untuk kerajaan mendapatkan khidmat tokoh agama berkenaan berdasarkan penguasaan ilmunya yang mendalam, khususnya dalam bidang turath atau khazanah keilmuan Islam klasik.
Ahmad Fauwaz berkata, beliau sendiri mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam mempelajari dan mengkaji ilmu turath, sekali gus dapat menilai keilmuan Ali Jumaah dalam bidang tersebut.
Katanya, kepakaran yang dimiliki bekas Mufti Mesir itu berpotensi memberikan manfaat besar kepada pembangunan pendidikan pondok dan pengajian turath di Malaysia.
“Adapun isu politik beliau dituduh membantu kezaliman (suatu ketika dulu) itu merupakan perkara yang melibatkan politik Mesir dan perkara itu sudah berlalu dan tidak mungkin kita boleh ulang semula.
“Kita kena lebih objektif dan memahami realiti ilmu dengan baik.
“Tidak ada orang yang sempurna dan ambillah yang terbaik daripada tokoh kita walaupun kita tidak bersetuju dengannya,” katanya.
Ahmad Fauwaz turut menjelaskan bahawa pandangan tersebut dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili pendirian rasmi institusi Mufti Wilayah Persekutuan.
Kenyataan itu menyusul kritikan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik seorang ulama Mesir yang didakwanya menyokong tindakan tentera terhadap penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, pada 2013.
Saifuddin membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat dengan menyifatkan pelantikan tokoh kontroversi berkenaan boleh memberikan isyarat yang tidak baik terhadap usaha memperkukuh pendidikan Islam di Malaysia.
“Perdana Menteri, jangan lantik ulama itu. Jangan lantik ulama jahat itu. Jangan lantik ulama zalim itu kerana itu (menghantar) signal yang tidak baik kalau kita benar-benar ingin meningkatkan pendidikan Islam bagi anak-anak kita,” katanya.
Walaupun Saifuddin tidak menamakan ulama terbabit dalam ucapannya, laporan media mengaitkan kenyataan itu dengan Ali Jumaah yang pernah menyokong kepimpinan Abdel Fattah al-Sisi selepas penggulingan Mohamed Morsi.
Kontroversi tersebut berkait dengan pergolakan politik Mesir pada 2013, termasuk tindakan keras pasukan keselamatan terhadap penyokong Morsi yang mengakibatkan kematian ramai orang awam.
Bagaimanapun, Ahmad Fauwaz berpandangan bahawa kontroversi politik lampau tidak seharusnya menghalang masyarakat daripada mengambil manfaat daripada keilmuan seseorang tokoh.
Perbezaan pandangan antara kedua-duanya memperlihatkan dua pertimbangan utama dalam isu pelantikan berkenaan, iaitu kepakaran akademik dan agama di satu pihak, serta rekod pendirian politik dan pertimbangan moral di pihak yang lain.
BACA JUGA Mahasiswa UM kritik derma Najib sebagai ‘perkara bodoh’ didakwa ditekan, netizen bangkit pertahan